Jika bersalah dalam isu Tabung Haji, hadap proses undang-undang - Anwar

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 2:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jika bersalah dalam isu Tabung Haji, hadap proses undang-undang - Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di sini pada Isnin.

TAMPIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan susulan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji perlu melalui proses undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak, termasuk dirinya.

Beliau berkata, kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung perkara itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini selepas laporan berkaitan diteliti.

"Mudah-mudahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita ada keputusan. Ada laporan.

Siapa, kalau tidak bersalah, pertahankan. Kalau salah, didakwa. Kalau dihukum penjara, masuk penjara. Itu bukan urusan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di sini pada Isnin.

Anwar berkata, sistem perundangan negara telah menetapkan fungsi setiap institusi secara jelas, bermula daripada badan penyiasat, Jabatan Peguam Negara sehingga kepada mahkamah yang membuat keputusan.

"Sistem kita menetapkan siasatan dibuat oleh badan penyiasat, pendakwaan oleh Peguam Negara dan hukuman diputuskan oleh hakim. Itu bukan urusan Perdana Menteri.

"Tanggungjawab saya ialah memastikan semua proses itu berjalan secara bebas mengikut Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa integriti dalam pentadbiran adalah asas penting bagi memastikan negara terus aman dan stabil.

"Saya bangkitkan perkara ini kerana bagi saya, negara tidak mungkin dapat mempertahankan keamanan sekiranya mereka yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan rakyat akhirnya mengkhianati amanah tersebut," katanya.

Anwar berkata, kerajaan kekal komited mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik dengan memastikan setiap dakwaan salah laku disiasat dan diputuskan mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved