PMX Pertimbang Perkenal Tiket MADANI Untuk Formula 1 Sepang, Harga Serendah RM200, tapi duduk belakang?

27 Jul 2026 • 8:55 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: PMX Pertimbang Perkenal Tiket MADANI Untuk Formula 1 Sepang, Harga Serendah RM200, tapi duduk belakang?

Cadangan memperkenalkan Tiket MADANI untuk menyaksikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memberi bayangan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan inisiatif tersebut.

Menurut laporan TV3, Perdana Menteri berkata ramai peminat sudah mula mendapatkan tiket untuk perlumbaan Formula 1 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, namun terdapat juga rungutan mengenai harga tiket yang dianggap tinggi.

“Ramai sudah membeli tiket… (ada yang kata) tiket mahallah tapi nak buat macam mana, (acara) antarabangsa,” kata beliau.

Anwar berkata ada rakyat yang bertanya sama ada kerajaan boleh menyediakan tiket khas menerusi inisiatif MADANI kerana harga tiket paling murah yang ditawarkan adalah sekitar RM200.

“Nak suruh orang datang, orang tanya saya ‘PM, ada tak Tiket MADANI? Kami kena beli tiket, yang paling murah RM200. Bagilah tiket MADANI’,” katanya.

Susulan permintaan tersebut, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa perkara itu akan dipertimbangkan.

“Insya-Allah… tapi jangan (minta tempat) duduk depan sangat. Nak bayar Tiket MADANI, jangan duduk depan sangatlah,” katanya secara berseloroh.

Sekiranya direalisasikan, Tiket MADANI berkemungkinan menjadi satu inisiatif untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan kemunculan semula Formula 1 di Sepang selepas kali terakhir negara menjadi tuan rumah pada 2017.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai jumlah tiket, kategori tempat duduk, syarat kelayakan atau mekanisme pembelian bagi Tiket MADANI tersebut.

Cadangan ini hadir ketika penganjuran Formula 1 kali ini mempunyai struktur berbeza berbanding era Grand Prix Malaysia sebelum ini. Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 merupakan perlumbaan milik Bahrain yang dibawa ke Malaysia susulan kerjasama antara kedua-dua negara, dengan Sepang bertindak sebagai venue tuan rumah.

Dengan kos tiket menjadi antara perkara utama yang dipertimbangkan peminat, pengenalan Tiket MADANI boleh menjadi salah satu usaha untuk mengimbangi keperluan acara bertaraf dunia dengan peluang rakyat tempatan menikmati pengalaman Formula 1 pada harga lebih mampu milik.

The post PMX Pertimbang Perkenal Tiket MADANI Untuk Formula 1 Sepang, Harga Serendah RM200, tapi duduk belakang? appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved