Jika Siti Nurhaliza mahu, dia boleh pilih lagu apa sahaja – Noh Salleh

Music
21 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jika Siti Nurhaliza mahu, dia boleh pilih lagu apa sahaja – Noh Salleh

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh menyimpan hasrat untuk mengundang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkolaborasi dalam konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Bagaimanapun, Noh atau Mohammad Noh Salleh, 41, mengakui berasa gementar untuk mengundang penyanyi nombor satu negara itu, malah menyifatkan dirinya belum tentu layak bergandingan dengan figura besar industri muzik berkenaan.

“Apa-apa pun, jemputan pertama kami akan ditujukan kepada Siti Nurhaliza dahulu. Kami akan bertanya kepada Kak Rozi (pengurus Siti), sama ada dia mempunyai kelapangan.

“Walaupun kami sedar mungkin kedudukan kami ini tidak layak untuk membawanya ke pentas kami, atas dasar budi bahasa dan penghormatan, dia harus ditanya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama media di Icon City, di sini, semalam.

Menurut vokalis kumpulan Hujan itu, sekiranya Siti bersetuju menerima jemputan berkenaan, penyanyi itu bebas memilih mana-mana lagu daripada katalog muziknya untuk dipersembahkan.

“Jika dia sudi, saya akan berikan senarai lagu dan biarlah dia sendiri yang memilih.

“Ibaratnya, saya taburkan semua lagu di atas dulang dan dia boleh memilih mana-mana satu. Apa sahaja untuk ‘Goddess’ kita,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hasrat itu, Noh berkata, dia berasa terhutang budi kepada Siti yang pernah mengundangnya membuat persembahan dalam dua konsert sebelum ini, iaitu Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live in Arena of Stars dan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Lebih menyentuh perasaannya, kata Noh, Siti sendiri memilih untuk menyanyikan dua lagu ciptaannya, Pagi Yang Gelap dan Rahsia Tuhan.

“Dia sendiri yang mahukan lagu itu. Katanya, ‘Noh, Siti rasa lagu ini lebih bagus kalau kita buat versi rock’.

“Bayangkan Siti Nurhaliza menyanyikan lagu saya dengan iringan orkestra. Versi itu sangat luar biasa sehingga saya sendiri menangis sebaik sahaja mendengar petikan pengenalan lagu berkenaan.

“Ia satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat saya sebagai penulis lagu,” katanya.

Dalam pada itu, Noh turut mengimbau pengalaman mendebarkan ketika diundang sebagai penyanyi jemputan dalam Konsert Legacy Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 70,000 penonton.

Jelasnya, tanggungjawab membuat persembahan di hadapan puluhan ribu peminat setia Siti Nurhaliza atau SitiZoners memberikan tekanan yang jauh berbeza berbanding ketika menjayakan konsert solonya sendiri.

“Lima minit sebelum naik ke pentas, badan saya sudah menggigil dan berpeluh sejuk. Saya mengalami serangan panik. Bayangkan, 70,000 orang berada di depan mata.

“Disebabkan terlalu gementar, saya sampai terlupa lirik.

“Tanggungjawab itu terasa sangat berat kerana ia konsert Siti dan saya tidak mahu melakukan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan kualiti persembahannya,” katanya.

Konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, pada 8 November ini menampilkan kira-kira 23 buah lagu.

Konsert itu bakal menjadi persembahan solo berformat orkestra kedua buat Noh selepas dia tampil bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu. -UTUSAN

The post Jika Siti Nurhaliza mahu, dia boleh pilih lagu apa sahaja – Noh Salleh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved