Tragedi pokok tumbang: Jenazah Mohd. Radzi, tiga ahli keluarga selamat dikebumi

4 Aug 2026 • 9:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tragedi pokok tumbang: Jenazah Mohd. Radzi, tiga ahli keluarga selamat dikebumi

MARAN – Suasana pilu dan hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sri Chedung di sini apabila empat sekeluarga yang maut dalam tragedi pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak dekat Janda Baik, Bentong, selamat dikebumikan dalam satu kubur awal pagi tadi.

Jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi, 40, isterinya, Nuraini Mohammad Jafri, 36, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, disemadikan pada pukul 3.15 pagi dalam suasana penuh sayu.

Terdahulu, kesemua jenazah dituntut ahli keluarga secara berperingkat antara pukul 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke Maran.

Setibanya di Maran, solat jenazah sekali lagi diadakan di Masjid Asy-Syakirin, Bandar Maran sebelum kesemua mereka diiringi ke Tanah Perkuburan Islam Sri Chedung bagi urusan pengebumian.

Tragedi yang meragut empat nyawa itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam apabila kenderaan pikap dinaiki kesemua mangsa dihempap sebatang pokok besar ketika melalui Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik.

Seorang lagi anak kembar pasangan berkenaan, Muhammad Rizz Haziq, terselamat namun mengalami kecederaan dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh. – KOSMO! ONLINE

The post Tragedi pokok tumbang: Jenazah Mohd. Radzi, tiga ahli keluarga selamat dikebumi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved