
JABATAN Kerja Raya (JKR) sedang meneliti kaedah terbaik untuk memperbaiki aliran trafik di satu bahagian Jalan Bukit Bendera yang kini terjejas akibat kerja-kerja perlindungan cerun.
Tindakan itu diambil susulan maklum balas mengenai kesesakan teruk yang berlaku di kawasan Signal Hill antara Dataran Merdeka dan Habiba Suites.
Seorang pemandu yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap masalah kesesakan itu telah mengemukakan aduan bertulis kepada Hotline sebelum surat berkenaan dipanjangkan kepada pihak JKR.
Jurucakap JKR berkata sepasukan anggota daripada Seksyen Trafik jabatan itu telah turun ke Jalan Bukit Bendera tidak lama selepas dihubungi pihak media.
“Mereka memantau pergerakan kenderaan di bahagian Jalan Bukit Bendera yang terjejas sebelum berbincang mengenai beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya sekiranya tiada sebarang keadaan tidak dijangka, kerja-kerja perlindungan cerun itu dijangka siap pada awal tahun depan.
“Pasukan projek yang bertanggungjawab terhadap usaha ini telah dimaklumkan mengenai kebimbangan pemandu berkenaan selain hasil pemerhatian anggota Seksyen Trafik (TS).
“Rakan sekerja kami daripada Seksyen Cerun kini mempertimbangkan kemungkinan memasang papan tanda yang jelas serta menempatkan petugas pengawal trafik di sekitar tapak projek,” ujarnya.
NAYAR dari Likas menyifatkan kesesakan yang berlaku di Bukit Bendera sejak beberapa minggu lalu sebagai amat menyukarkan khususnya bagi penduduk yang tinggal di Signal Hill.
“Di antara kedua-dua hujung laluan yang menjadi sempit itu, pemandu tidak dapat mengetahui sama ada terdapat kenderaan yang sedang menaiki atau menuruni jalan berkenaan.
“Justeru apabila seseorang pemandu memasuki laluan sempit itu, dia mungkin tiba-tiba berdepan dengan kenderaan dari arah bertentangan di jalan yang terlalu sempit dan hanya sesuai untuk satu lorong kenderaan,” jelasnya.
Beliau berkata dalam keadaan sedemikian amat sukar untuk mengundur kenderaan, apatah lagi membuat pusingan U dalam ruang yang begitu terhad.
“Keadaan semasa jelas tidak boleh diterima oleh semua pengguna jalan raya dan perlu diperbetulkan secepat mungkin,” katanya.
Nayar berpendapat kesesakan itu boleh diatasi dengan menempatkan petugas kawalan trafik yang sesuai, masing-masing membawa bendera merah atau hijau di kedua-dua hujung laluan sempit tersebut.
“Bagaimanapun petugas kawalan trafik itu perlu dibekalkan dengan walkie-talkie atau peranti komunikasi lain yang sesuai supaya mereka dapat berhubung antara satu sama lain.
“Ini akan membolehkan pergerakan trafik diselaraskan dengan baik, selamat dan lancar tanpa sebarang gangguan,” maklumnya.
Namun beliau berpendapat adalah tidak munasabah untuk mengharapkan petugas kawalan trafik bertugas sepanjang masa di kawasan berkenaan.
Menurutnya penyelesaian yang lebih baik mungkin dengan memasang lampu isyarat di bahagian jalan tersebut.
“Kontraktor boleh menggunakan sistem lampu isyarat yang mudah, dengan lampu merah dan hijau yang sesuai dipasang di kedua-dua hujung jalan. Sistem itu boleh dihubungkan menggunakan kabel, kotak sambungan dan kelengkapan lain yang diperlukan.
“Memang kos permulaan untuk memasang sistem itu mungkin tinggi. Namun, kelebihannya ialah sistem tersebut boleh beroperasi 24 jam tanpa gagal kerana tidak perlu bergantung kepada petugas kawalan trafik,” katanya.






