Kontraktor utiliti perlu permit JKR sebelum boleh korek jalan

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 1:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kontraktor utiliti perlu permit JKR sebelum boleh korek jalan

IPOH: Semua syarikat utiliti diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) terlebih dahulu sebelum melakukan kerja-kerja pengorekan di rizab jalan di bawah seliaan jabatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, prosuder itu penting bagi memastikan kerja pengorekan dapat diselaraskan selain mengelakkan pertindihan yang boleh menjejaskan pengguna jalan raya.

Beliau memaklumkan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) akan bekerjasama dengan JKR bagi proses memetakan kedudukan kabel dan paip utiliti di bawah tanah sebelum sesuatu permohonan pengorekan diluluskan.

“Sebelum membuat kerja-kerja di lapangan, paling utama mereka kena minta kelulusan daripada JKR dan mendapatkan permit. Tanpa permit, mereka tidak boleh masuk atau menyentuh rizab jalan JKR.

“Semua utiliti termasuk agensi kerajaan yang mahu membuat kerja seperti pemasangan paip air atau gas juga perlu mendapatkan kelulusan dan permit daripada JKR,” katanya selepas Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama KUDR dan Syarikat Utiliti di Hotel Kinta Riverfront di sini hari ini.

Menerusi kerjasama JKR dan KUDR, kaedah pemetaan bawah tanah dapat dilaksanakan bagi mengenal pasti kedudukan kabel atau paip sedia ada sebelum kerja pengorekan dijalankan.

Mohammad Nizar berkata, langkah itu dapat mengelakkan kejadian seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau paip Lembaga Air Perak (LAP) terkena ketika kerja pengorekan dilakukan.

Katanya, sekiranya ada permohonan, KUDR akan memprosesnya dan melihat kedudukan utiliti lain yang berhampiran.

“Melalui pemetaan ini, kita boleh kenal pasti secara terus kabel atau paip yang berada di bawah tanah termasuk kedalaman dan jaraknya.

“Sekiranya terdapat potensi perlanggaran dengan mana-mana kabel atau paip, maklumat itu akan diberikan supaya kawasan berkenaan dapat dielakkan,” katanya.

Penyelarasan tersebut bertujuan mengelakkan kerja pengorekan berulang yang menyebabkan kesesakan dan menyusahkan pengguna jalan raya.-UTUSAN

The post Kontraktor utiliti perlu permit JKR sebelum boleh korek jalan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved