
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memberi tempoh sehingga esok kepada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk menarik balik perkataan ‘munafik’ yang diungkapkannya ketika berbahas.
Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti Hansard berhubung perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
“Saya minta Kota Bharu menarik balik perkataan yang telah pun diungkapkan. Saya beri tarikh hingga esok,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurutnya, penarikan balik itu boleh dilakukan sama ada di dalam Dewan atau secara bertulis kepada beliau.
Johari turut menjelaskan bahawa Rayer boleh mengemukakan usul sekiranya Takiyuddin tidak menarik balik perkataan berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Terdahulu, Rayer membangkitkan bantahan terhadap penggunaan perkataan ‘munafik’ oleh Takiyuddin yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika perbahasan Belanjawan 2027 pada Isnin.
Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4), yang melarang penggunaan bahasa kurang sopan dalam Dewan Rakyat, susulan kenyataan berkenaan.
The post Johari beri tempoh hingga esok untuk Takiyuddin tarik balik perkataan ‘munafik’ appeared first on The Reporter.






