
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bercadang mewujudkan pusat perlindungan kucing dan anjing liar bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan lebih terjamin, selain mengurangkan masalah haiwan berkeliaran di kawasan perumahan serta bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan.
Menurut beliau, MBJB ketika ini merupakan antara PBT yang mempunyai pusat kurungan bagi menempatkan anjing liar yang ditangkap sebelum diberi makanan, rawatan dan peluang untuk diambil sebagai haiwan peliharaan.
“Pada masa akan datang kita mahu melihat beberapa PBT menjalankan projek perintis (pilot run) berkaitan pengurusan anjing dan kucing liar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan NGO pencinta haiwan. Kerjasama ini penting supaya haiwan yang diselamatkan bukan sekadar ditangkap dan ditempatkan, tetapi turut diberikan penjagaan, makanan dan rawatan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penganjuran Johor Smart City Forum 2026 (JSCF) Volume 1 di Dewan Utama Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, konsep berkenaan boleh dilaksanakan secara berfasa dengan haiwan yang ditangkap disterilkan bagi mengawal pembiakan sebelum dijaga sehingga sihat dan sesuai untuk proses pengambilan oleh orang awam.
Sementara itu, mengulas tentang JSCF 2026, pihaknya memberitahu kerajaan negeri merancang untuk menambah bilangan kamera litar tertutup CCTV pintar bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
“Kesemua 16 PBT di Johor telah menerima pengiktirafan sekurang-kurangnya Smart City Tahap 1, manakala MBJB satu-satunya yang menerima pengikut Smart City Tahap 3 setelah memenuhi 63 indikator yang ditentukan. PBT Pasir Gudang dan Iskandar Puteri kita sedang usahakan untuk mencapai Tahap 2.
“Antara aspek yang diberi tumpuan termasuklah sasaran memasang sehingga 5,000 CCTV pintar di kawasan Greater Johor Bahru dan juga pemasangan lampu isyarat pintar di laluan-laluan dikenalpasti sesak khususnya pada waktu puncak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Johor cadang wujud pusat perlindungan kucing, anjing liar appeared first on Kosmo Digital.






