JPN Perlis sedia pelan hadapi banjir

23 Nov 2026 • 2:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JPN Perlis sedia pelan hadapi banjir

LANGKAWI: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menyediakan pelan bagi menghadapi situasi luar jangka khususnya banjir dalam memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 berjalan lancar.

Pengarahnya, Ishak Awang berkata, satu taklimat juga telah diadakan pada 17 September lepas bersama agensi-agensi kerajaan bagi menyelaras tindakan sekiranya berlaku sebarang isu mahu pun situasi luar jangka tersebut.

Beliau berkata, calon dan petugas SPM 2026 juga diingatkan agar dapat sentiasa menjaga kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan ini.

“Selain itu, ibu bapa hendaklah sentiasa memantau pergerakan dan tahap kesihatan anak-anak sepanjang tempoh peperiksaan ini berlangsung,” katanya selepas turun padang melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini, hari ini.

November tahun lalu, calon peperiksaan di negeri ini terkesan dan ada di antaranya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kebanyakan kawasan di Perlis terjejas ekoran banjir.

Ishak berkata, peperiksaan SPM 2026 kali ini melibatkan seramai 3,838 orang calon dan 37 buah pusat peperiksaan di seluruh Perlis.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,664 merupakan calon sekolah manakala 174 lagi adalah calon persendirian. Seramai 24 calon berkeperluan pendidikan khas berdaftar merangkumi pelbagai ketidakupayaan.

“Bagi calon kes khas, seramai empat calon akan menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.

Jelas Ishak, pada kali ini, seramai 231 petugas peperiksaan telah dilantik meliputi lapan penyelia kawasan, 37 ketua pengawas, 150 pengawas dan 46 petugas sukarelawan bagi mengoperasikan 37 buah pusat peperiksaan seluruh negeri ini. – UTUSAN

 

The post JPN Perlis sedia pelan hadapi banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved