JPA: Tiada aduan penjawat awam ditekan ahli politik setakat ini

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 11:11 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JPA: Tiada aduan penjawat awam ditekan ahli politik setakat ini

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan setakat ini tiada penjawat awam tampil membuat aduan berhubung dakwaan menerima tekanan daripada ahli politik ketika menjalankan tugas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan yakin penjawat awam memahami tanggungjawab serta peraturan yang mengikat mereka, lapor Berita Harian.

"Sehingga hari ini, kita tidak menerima sebarang aduan daripada penjawat awam yang mendakwa menerima tekanan daripada ahli politik.

"Saya percaya penjawat awam memahami peraturan yang mengikat mereka apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam dan, insya-Allah, perkara ini tidak akan berulang," katanya selepas menghadiri Larian MAPPA XXI 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Program yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu disertai kira-kira 13,000 peserta.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kerajaan akan melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.

Beliau turut menegaskan penjawat awam perlu terus melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata impak pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) hanya dapat dinilai selepas tempoh sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan memandangkan dasar itu baru berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.

Beliau berkata kira-kira 15,000 penjawat awam melaksanakan HBH setiap hari sejak diperkenalkan, sekali gus menunjukkan penerimaan awal yang positif terhadap norma baharu itu.

"Tempoh pelaksanaan masih singkat, jadi kita belum dapat menilai impaknya secara menyeluruh. Kita akan melihat keberkesanannya selepas sebulan atau tiga bulan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas," katanya.

Menurut beliau, HBH yang menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) bukan lagi langkah sementara, sebaliknya diperkenalkan sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam.

Di bawah dasar itu, penjawat awam dibenarkan bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan ketua jabatan dan tiga hari di pejabat, tertakluk kepada keperluan perkhidmatan dan kesesuaian tugas.

Wan Ahmad Dahlan berkata amalan bekerja secara hibrid telah lama dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Singapura dan negara Scandinavia dengan hasil yang memberangsangkan, dan beliau yakin penjawat awam di Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved