
PUTRAJAYA: Seramai 15,000 penjawat awam direkodkan terlibat Hari Bekerja Hibrid (HBH) setiap hari sejak pelaksanaannya bermula pada 1 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tempoh pelaksanaan dasar itu masih baharu menyebabkan kerajaan belum dapat membuat penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan dasar itu.
Beliau berkata, kerajaan dijangka dapat melihat impak sebenar pelaksanaan dasar HBH selepas tempoh sebulan hingga tiga bulan.
“Oleh kerana pelaksanaannya masih baharu, kita tidak dapat menilai secara komprehensif lagi. Namun selepas sebulan atau tiga bulan, kita akan dapat melihat impaknya dengan lebih jelas,” katanya ketika ditemui pada program Larian MAPPA XXI Tahun 2026 di sini hari ini.
Katanya, pelaksanaan HBH tidak ditetapkan dalam tempoh tertentu kerana ia merupakan norma baharu dalam dunia pekerjaan yang diamalkan di banyak negara maju.
Wan Ahmad Dahlan berkata, negara seperti Singapura dan beberapa negara Scandinavia telah lama mengamalkan kaedah bekerja secara hibrid dengan hasil yang positif dari segi produktiviti serta pencapaian organisasi.
“Saya percaya penjawat awam di Malaysia mampu melaksanakan tanggungjawab menerusi Hari Bekerja Hibrid ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
HBH yang dilaksanakan bermula 1 Ogos lalu membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif.
Inisiatif itu menyaksikan norma kerja tradisional lima hari seminggu di pejabat kini beralih kepada gabungan kehadiran fizikal dan tugasan di lokasi alternatif, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan pelaksanaan HBH sebagai langkah kalis masa hadapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal utuh dalam mendepani perubahan global dan evolusi cara kerja moden tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. – UTUSAN
The post 15,000 penjawat awam laksana Hari Bekerja Hibrid setiap hari – KPPA appeared first on Utusan Malaysia.






