
KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kes lumba haram dan menguji kelajuan dikesan dalam Ops Khas Motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama JPJ Ibu Pejabat Putrajaya itu turut menyaksikan sembilan buah motosikal disita untuk tindakan lanjut.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi tersebut dilakukan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan pusat bandar Kuala Lumpur bermula pukul 10 malam semalam hingga 5 pagi tadi.
“Operasi membabitkan 37 anggota penguat kuasa itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di bawah Seksyen 42A(1) dan Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Daripada enam kes yang dikesan, dua kes membabitkan lumba haram, manakala empat lagi berkaitan perbuatan menguji kelajuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkaa, sepanjang operasi itu, sebanyak 35 buah kenderaan diperiksa, dengan 11 daripadanya dikenakan tindakan, selain 47 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal.
“Kesalahan lain yang dikesan adalah melakukan pengubahsuaian kenderaan, nombor pendaftaran dan ekzos tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Pihak kami memandang serius kegiatan lumba haram dan menguji kelajuan di jalan raya kerana perbuatan itu boleh mengundang kemalangan serius dan mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post JPJ gempur pusat bandar KL ‘buru’ samseng jalanan appeared first on Kosmo Online.






