Ni Hsin lengkapkan pemasangan CKD kumpulan pertama 43 motosikal elektrik Surron

LocalCars
23 Oct 2026 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ni Hsin lengkapkan pemasangan CKD kumpulan pertama 43 motosikal elektrik Surron Image from: Ni Hsin lengkapkan pemasangan CKD kumpulan pertama 43 motosikal elektrik Surron liza23/10/2026 - 17:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Ni Hsin Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NHEVT), melengkapkan pengeluaran kumpulan pertama sebanyak 43 motosikal elektrik lasak jenama Surron yang diserahkan kepada Chongqing Qiulong Technology Co Ltd dari China.

 

Penyerahan kumpulan pertama itu menandakan selesainya fasa awal pengeluaran di bawah perjanjian kerjasama pemasangan motosikal secara tempatan (CKD) antara kedua-dua syarikat.

 

Kerjasama itu menggabungkan keupayaan pemasangan tempatan NHEVT dengan kepakaran teknologi Qiulong bagi menghasilkan motosikal elektrik untuk kegunaan ‘off road’ yang memenuhi keperluan pasaran serantau.

 

Pengarah Urusan NHEVT, Khoo Chee Kong berkata penyerahan itu mencerminkan visi bersama kedua-dua syarikat untuk memperkenalkan penyelesaian mobiliti sifar pelepasan kepada pengguna.

 

Beliau berkata kerjasama itu turut menyokong pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) Malaysia serta usaha meningkatkan penggunaan motosikal elektrik.

 

Wakil kedua-dua syarikat turut menghadiri majlis berkenaan bagi mengesahkan komitmen mereka untuk memperluas kehadiran jenama Surron di Malaysia dan pasaran negara jiran.

 

Perkenal model berprestasi tinggi

Model yang diperkenalkan ialah Surron Light Bee 26X, yang dilengkapi bateri boleh tanggal 72V 35Ah, motor berkuasa puncak 10 kilowatt (kW) dan kelajuan maksimum 85 kilometer sejam (km/j).

 

Model berkenaan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk dicas.

 

Satu lagi model, Surron Ultra Bee HP 26T, dilengkapi bateri boleh tanggal 74V 60Ah, motor berkuasa puncak 24.5kW dan kelajuan maksimum 95km/j.

 

Model itu turut mempunyai jarak perjalanan sehingga 140 kilometer serta tork 440 Newton meter (Nm).

 

Ni Hsin berkata, rangkaian produk pada masa depan dijangka merangkumi lebih banyak model berprestasi tinggi generasi baharu, selain rangka kerja pengedaran strategik bagi mengembangkan perniagaannya dalam sektor pengangkutan elektrik di ASEAN.

 

Ni Hsin Group Berhad yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjalankan perniagaan dalam bidang peralatan memasak, produk keluli tahan karat, makanan dan minuman, logistik serta kenderaan elektrik.

 

Perniagaan kenderaan elektrik kumpulan itu dikendalikan oleh NHEVT, yang memasang dan mengedarkan motosikal elektrik di kilangnya di Seri Kembangan, Selangor. Selain model terpilih Surron, syarikat itu turut mengendalikan rangkaian motosikal elektrik EBIXON. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved