JPPKK beri kerjasama penuh kepada polis

7 Oct 2026 • 10:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: JPPKK beri kerjasama penuh kepada polis

KUANTAN – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi membantu siasatan susulan kematian pelajar wanita Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan yang dipercayai dicekik teman lelakinya semalam.

Menurut kenyataan JPPKK pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan kes melibatkan mendiang M. Elisa Jonova,19, yang merupakan pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan Polisas.

“JPKK menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Elisa Jonova Masilamani dan kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“JPPKK dan Polisas akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu proses siasatan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan perselisihan faham menjadi motif seorang penuntut wanita Polisas dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di sebuah rumah sewa dekat Jalan Air putih 2 di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.32 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun ditemukan mati di atas katil di tingkat bawah rumah sewa berkenaan.

Ekoran itu teman lelaki mangsa yang berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian kekasihnya yang berkemungkinan akibat dicekik berdasarkan kesan tekanan pada lehernya.

Sementara itu, JPPKK menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang dalam menghadapi saat yang sukar ini.

Ujarnya, JPPKK dan Polisas akan terus memberikan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

The post JPPKK beri kerjasama penuh kepada polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved