
KUANTAN – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) akan memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan berhubung kematian seorang penuntut dipercayai dibunuh teman lelakinya, awal pagi semalam.
JPPKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya bersama Polisas menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian penuntut Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan, Polisas itu.
“JPPKK dan Polisas akan terus memberikan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
JPPKK turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati privasi dan perasaan keluarga mangsa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira 4.32 pagi daripada teman lelaki mangsa yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Ashari dilaporkan berkata, mangsa ditemukan terbaring di katil dalam sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah itu, selain pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher wanita itu. – Bernama
The post Keluarga mangsa jadi keutamaan Polisas appeared first on Kosmo Online.






