liza06/11/2026 - 16:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memerlukan pendekatan lebih khusus dalam pemberian insentif pelaburan, selain pembangunan taman perindustrian bersama Malaysia-Singapura bagi menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan berkenaan.
Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, kedua-dua negara perlu mempertimbangkan beberapa inisiatif lebih konkrit bagi memastikan JS-SEZ dikenali sebagai zon ekonomi khas yang berdaya saing di peringkat serantau.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah memasukkan kategori khusus JS-SEZ dalam sistem penilaian Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurutnya, kategori itu membolehkan projek pelaburan dinilai berdasarkan nilai tambah dan manfaatnya kepada keseluruhan ekosistem JS-SEZ, termasuk sejauh mana projek berkenaan menyokong keperluan industri lain dalam kawasan tersebut.
“Sebagai contoh, projek pusat data yang turut merangkumi kemudahan rawatan air bagi membekalkan sumber air kepada pusat data lain dalam JS-SEZ boleh diberikan penilaian lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadang taman perindustrian dibangunkan bersama
Ong turut mencadangkan Malaysia dan Singapura mengumumkan rancangan membangunkan taman perindustrian secara bersama dalam kawasan JS-SEZ.
Beliau berkata, model kerjasama itu boleh mengambil contoh pembangunan Marina One dan DUO di Singapura yang diterajui Khazanah Nasional dan Temasek pada 2018.
Menurutnya, pengumuman mengenai projek taman perindustrian bersama itu mampu menarik perhatian pelabur kerana menawarkan inisiatif pembangunan yang lebih konkrit berbanding penambahbaikan insentif pelaburan semata-mata.
Beliau berkata, rakan pembangunan bagi projek berkenaan boleh dirundingkan terlebih dahulu sebelum diumumkan pada masa akan datang.
Kerjasama tenaga boleh baharu, air dan pembangunan tenaga kerja
Selain itu, Ong mencadangkan Malaysia dan Singapura mengumumkan hasrat untuk melabur serta membangunkan projek tenaga boleh baharu dan rawatan air secara bersama bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga serta air di Johor susulan kemasukan pelaburan pusat data.
Antara projek yang boleh dipertimbangkan ialah Southern Johor Renewable Energy Corridor (SJREC) yang melibatkan Ditrolic dan Permodalan Darul Ta'zim, selain projek solar terapung di Empangan Linggiu menerusi kerjasama Sembcorp, KPRJ Environment Sdn Bhd dan Qua Energy.
Beliau turut mencadangkan penubuhan pasukan petugas bersama bagi menyelaras persiapan operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan bermula pada Februari 2027, dengan tumpuan khusus kepada perkara berkaitan sistem pengangkutan itu termasuk kemudahan pejalan kaki di sekitar stesen Bukit Chagar.
“Cadangan kelima pula melibatkan kerjasama pembangunan modal insan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Singapura, dengan penyelarasan oleh Johor Skills Development Centre serta Skills and Workforce Development Agency (SWDA) di Singapura.
“Inisiatif itu bertujuan menangani persoalan mengenai ketersediaan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri dalam JS-SEZ,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ong berkata, mesyuarat sulung Jawatankuasa Menteri Bersama Johor-Singapura (JSCMC) pada 2 November lalu adalah satu perkembangan penting menerusi peluasan skop kerjasama berbanding Jawatankuasa Menteri Bersama Iskandar Malaysia (JMCIM) sebelum ini.
Sebanyak RM88.83 bilion pelaburan diluluskan telah direkodkan dalam JS-SEZ bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, dengan kira-kira 45% daripadanya sudah dilaksanakan.
Beliau berharap pengumuman Pelan Induk JS-SEZ ketika pertemuan pemimpin kedua-dua negara pada Disember 2026 turut disertai langkah pelaksanaan yang lebih substantif bagi merealisasikan potensi zon ekonomi khas berkenaan. - DagangNews.com






