johardy29/10/2026 - 09:47 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Pembangunan Johor sebagai hab pusat data serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memacu pertumbuhan permintaan air di negeri itu, menurut Ranhill Utilities Berhad.
Dalam laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan itu mengunjurkan permintaan air terawat di Johor meningkat kira-kira 300 juta liter sehari menjelang 2029, disokong pertumbuhan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi.
Ranhill menjangkakan penggunaan air meningkat 4.2% setahun di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan pertumbuhan lebih tinggi sekitar 5.3% di daerah Johor Bahru dan Kulai.
Menurut kumpulan itu, pertambahan pusat data, pengembangan sektor industri sedia ada serta peningkatan pelaburan dan kegiatan ekonomi di sembilan kawasan utama JS-SEZ menyumbang kepada pertumbuhan permintaan air terawat.
Anak syarikatnya, Ranhill SAJ merekodkan jualan air sebanyak 567.1 juta meter padu sepanjang tahun kewangan berkenaan, dengan peningkatan penggunaan dalam kedua-dua kategori domestik dan bukan domestik.
Dua loji tambah kapasiti 210 juta liter sehari
Bagi menyokong peningkatan permintaan, dua loji rawatan air sedang dibina dengan tambahan kapasiti keseluruhan sebanyak 210 juta liter sehari.
Loji Semangar berkapasiti 50 juta liter sehari dijangka mula beroperasi pada tahun kewangan berakhir Jun 2027, diikuti penyiapan loji Sultan Iskandar 2 Fasa 2 berkapasiti 160 juta liter sehari pada 2028.
Ranhill SAJ turut menyasarkan mendapatkan pembiayaan jangka panjang yang mampan, termasuk menerusi rangka kerja Pembiayaan Air Alternatif (AWF), untuk mempercepat pelaburan strategik infrastruktur air, menurut laporan itu.
Syarikat itu telah menerima kelulusan daripada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk meneroka kemungkinan memiliki aset air di Johor. Di bawah aturan sedia ada, Ranhill SAJ membayar sewa pajakan tahunan bagi aset air milik PAAB.
Keutamaan lain termasuk menambah kemudahan simpanan air, memperkukuh sambungan antara sistem bekalan, meneroka penyahgaraman berskala besar serta mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), kata kumpulan itu.
Ranhill SAJ merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM311.1 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir Jun 2026, disokong kenaikan tarif air, pengenalan tarif khusus untuk pusat data serta peningkatan penggunaan domestik dan bukan domestik. - DagangNews.com






