
KANGAR: Keperluan mendapatkan wang tunai segera mendorong sebahagian pemilik untuk menjual barangan kemas mereka bagi meringankan beban ditanggung.
Namun, tidak semua kedai emas dapat membuat bayaran segera bagi setiap jualan berikutan perlu mengambil masa untuk proses penilaian dan semakan teliti dalam memastikan ketulenan.
Menyedari keperluan tersebut, Kedai Emas Fahmi di Taman Sena Indah di sini menyediakan kemudahan kepada pemilik mendapatkan penilaian dan menjual emas mereka tanpa perlu proses lama serta turut menawarkan bayaran terus selepas urusan dipersetujui.
Pemiliknya, Mohamad Fakhmi Sabry, 40, berkata, syarikatnya memang mengutamakan pembayaran pantas dalam setiap pembelian emas bagi membantu pelanggan yang memerlukan wang segera tanpa menunggu proses panjang.
“Matlamat kami adalah untuk memudahkan pelanggan yang mahu menjual emas dan memerlukan duit segera. Kami juga boleh buat penilaian emas secara percuma dan jika harga dipersetujui, bayaran dibuat terus tanpa perlu pelanggan menunggu lama,” katanya.
Katanya, selain menawarkan pembelian emas, kedai emas di bawah syarikat bumiputera dan patuh syariah itu turut menerima surat daripada pajak gadai konvensional serta skim Ar-Rahnu.
Kedainya juga menawarkan pembelian emas suasa bermutu tinggi dan turut menyediakan perkhidmatan buat pemilik yang ingin mengetahui nilai emas bagi tujuan pengiraan zakat mahu pun pembahagian harta pusaka.
“Kami boleh menilai pelbagai mutu emas termasuk 916 dan 750 selain emas lama yang tidak mempunyai cop ketulenan seperti emas berusia antara 50 hingga 60 tahun bagi menentukan kualiti serta ketulenan,” katanya.
Kata Mohamad Fakhmi, sejak beroperasi pada tahun 2021, beliau kini sudah mempunyai tiga cawangan kedai emas yang beroperasi di Pokok Sena dan Jitra, Kedah serta di Taman Sena Indah di sini dengan membabitkan seramai lapan pekerja.
Katanya, dalam sebulan, kedai emas itu menerima 200 hingga 300 pelanggan yang ingin menjual barangan emas mereka dengan berat dianggar antara tiga hingga lima kilogram.
“Perancangan selepas ini adalah membuka dua lagi cawangan berkemungkinan di Alor Setar dan Pulau Pinang bagi menawarkan perkhidmatan buat lebih ramai orang,” katanya.-UTUSAN.
The post Jual emas, dapat tunai segera appeared first on Utusan Malaysia.






