Empat kombo pada harga promosi menjadi antara tarikan utama Himpunan Semarak Tani @ Jualan Agro MADANI MEGA Negeri Melaka 2026, yang menyasarkan jualan RM500,000 sepanjang tiga hari penganjurannya.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berlangsung dari 6 hingga 8 November di Padang Kolej Vokasional Melaka Tengah, dari 8 pagi hingga 10 malam.
Menurut KPKM, program itu menyasarkan 20,000 pengunjung dan manfaat kepada 30,000 isi rumah. Sebanyak 109 lot jualan dan pameran disediakan dengan penyertaan 83 usahawan serta pempamer daripada jabatan dan agensi.
“KPKM akan terus memperkukuh pelaksanaan program Jualan Agro MADANI sebagai platform yang menghubungkan pengeluar, usahawan dan pengguna secara langsung,” katanya dalam kenyataan.

Program turut dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dan Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
Selain tawaran Kombo Semarak Tani, pengunjung disajikan dengan demonstrasi penyediaan kuih tart dan keropok pisang, pertandingan memasak, sukan tradisional serta Konsert Muzik dan Jiwa bersama Suria FM.
Sementara itu, dengan hanya bajet RM100, seorang pengunjung, Encik Syah, berkata beliau boleh membeli lebih banyak barangan keperluan dapur kerana harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding di tempat lain.

Menurutnya, perbezaan harga itu dapat dilihat pada tawaran telur. Beliau mendapati ada pilihan berharga RM10 dan RM15, sekali gus memberinya ruang untuk menggunakan baki wang bagi membeli barangan lain.
“Hari ini saya bawa RM100, beza di tempat lain kerana di sini lebih murah. Harga telur ada yang RM10, RM15 siap dapat bawang sekali,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat juga penyerahan insentif berjumlah RM437,450 kepada lima usahawan. Insentif tersebut disalurkan menerusi Geran Agropreneur NextGen Start-Up, Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) dan Insentif Pembangunan Pasaran dan Padanan Produk Mikro IAT Usahawan Negeri Melaka Tahun 2026.
Sehingga Oktober 2026, FAMA Melaka telah melaksanakan 258 program Jualan Agro MADANI (JAM) yang melibatkan 3,300 usahawan dengan jualan terkumpul RM5.87 juta.

Di seluruh negara, hampir 3,400 program JAM dilaksanakan dari Januari hingga November 2026. Program berkenaan merekodkan jualan melebihi RM80 juta dan penjimatan RM26 juta kepada pengguna, dengan penyertaan 55,000 usahawan serta kehadiran lebih 4.7 juta pengunjung.
KPKM memaklumkan, penawaran produk pada harga berpatutan membantu meringankan kos sara hidup pengguna, manakala usahawan agromakanan tempatan berpeluang meluaskan pasaran dan membina jaringan perniagaan.






