Monsun Timur Laut: FAMA sedia 15 pusat operasi utama kawal bekalan makanan

LocalFood
24 Oct 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Monsun Timur Laut: FAMA sedia 15 pusat operasi utama kawal bekalan makanan
Faisal (tengah) ketika ditemui media sempena program Jualan Agro Madani Mega Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada Sabtu.

​KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 15 lokasi pusat operasi utama di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

​Ketua Pengarah FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, langkah itu turut merangkumi penyediaan stok penimbal bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan di negeri-negeri terlibat banjir.

​Menurutnya, FAMA turut bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran penyaluran bekalan makanan ke kawasan terjejas khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

​"Di Pantai Timur, kita mempunyai tiga pusat iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan untuk menyediakan bekalan pada musim banjir.

"Kita juga menyediakan 15 lokasi pusat operasi utama di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia," katanya ketika ditemui pada program Jualan Agro Madani (JAM) Mega Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Faisal berkata, sebanyak 34 komoditi pertanian termasuk produk makanan diproses akan diberi perhatian khusus dalam usaha memenuhi keperluan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

​Beliau berkata, FAMA turut mengambil langkah strategik meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di kawasan yang dijangka tidak terjejas banjir bagi mengimbangi kemungkinan kekurangan bekalan dari negeri dilanda bencana kelak.

​"Melalui Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), kita memberi tumpuan kepada kawasan atau negeri yang dijangka tidak mengalami banjir untuk meningkatkan pengeluaran.

​"Ini bagi mengimbangi bekalan sekiranya negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian seperti biasa," jelasnya.

​Tambahnya lagi, langkah tersebut penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara terus berfungsi dengan baik meskipun berlaku gangguan pengeluaran dan pengedaran akibat musibah banjir.

"FAMA akan terus menyelaras pengedaran hasil pertanian dari negeri yang mempunyai lebihan bekalan ke kawasan yang berdepan kekurangan bagi memastikan bekalan makanan dapat diperoleh pada harga berpatutan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved