Jualan Agro Madani Mega Terengganu sasar jualan RM1.3 juta 

LocalBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 11:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jualan Agro Madani Mega Terengganu sasar jualan RM1.3 juta 

KUALA TERENGGANU : Jualan Agro Madani (JAM) Mega Terengganu yang berlangsung lima hari sejak 21 Oktober lalu dijangka mencatat nilai jualan sehingga RM1.3 juta, iaitu hampir dua kali ganda daripada sasaran awal RM690,000.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, program itu merekodkan nilai jualan hampir RM800,000 setakat semalam, iaitu hari ketiga penganjuran dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan sambutan positif pengguna terhadap program berkenaan yang menawarkan pelbagai produk pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Pada asalnya, kita menyasarkan nilai jualan sebanyak RM690,000 sepanjang lima hari program tetapi berdasarkan pencapaian setakat ini, kita menjangkakan jumlah itu boleh meningkat sehingga RM1.3 juta” katanya selepas mengadakan sesi tinjauan di JAM Mega Terengganu di Dataran Shahbandar,  di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, FAMA memberi tumpuan kepada penawaran telur ayam pada harga lebih rendah menerusi program berkenaan bagi membantu pengguna berdepan kenaikan harga pasaran.

Menurutnya, telur ayam dijual pada harga RM10 sepapan berbanding harga pasaran sekitar RM13 hingga RM14 bagi gred B.

Sementara itu, katanya, FAMA menyediakan 15 lokasi pusat operasi utama di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim tengkujuh, khususnya ketika berlaku banjir.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan penyediaan bekalan 34 komoditi dan produk makanan termasuk makanan yang telah diproses bagi menghadapi kemungkinan gangguan pengeluaran akibat banjir.

“FAMA turut memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan bekalan daripada negeri lain yang tidak terjejas banjir bagi menampung keperluan pengguna di kawasan terjejas. Di Pantai Timur, kita mempunyai tiga pusat operasi iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan bagi menyediakan bekalan makanan ketika musim tengkujuh,” katanya.– UTUSAN

 

The post Jualan Agro Madani Mega Terengganu sasar jualan RM1.3 juta  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved