Jualan Kamdar merosot 15.5% pada FY2026, pertimbang sewakan premis dan bangunkan hartanah untuk jana pendapatan

Business & FinanceProperty
30 Oct 2026 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Kamdar merosot 15.5% pada FY2026, pertimbang sewakan premis dan bangunkan hartanah untuk jana pendapatan Image from: Jualan Kamdar merosot 15.5% pada FY2026, pertimbang sewakan premis dan bangunkan hartanah untuk jana pendapatan liza30/10/2026 - 17:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – Kamdar Group (M) Berhad mempertimbangkan langkah untuk menyewakan premis yang kurang digunakan kepada pihak luar serta menilai potensi pembangunan hartanah miliknya di Kuala Lumpur dan Shah Alam bagi menjana pendapatan tambahan.

 

Dalam laporan tahunan 2026 kepada Bursa Malaysia, Kamdar berkata ia berdepan kemerosotan jualan susulan permintaan pengguna yang lemah dan persaingan semakin sengit dalam sektor peruncitan,

 

Kumpulan itu berkata usaha berkenaan merupakan sebahagian langkah meningkatkan pulangan daripada portfolio hartanahnya, termasuk menyewakan premis runcit yang kurang digunakan atau tidak memberikan pulangan memuaskan daripada operasi perniagaan.

 

Kamdar turut mengenal pasti hartanah di 433 Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan Shah Alam untuk dinilai potensi pembangunannya bagi membuka peluang meningkatkan nilai aset serta mewujudkan sumber pendapatan tambahan.

 

Bagaimanapun, sebarang keputusan pembangunan atau pelaburan akan bergantung kepada penilaian kebolehlaksanaan komersial, keperluan pembiayaan, keadaan pasaran semasa dan jangkaan pulangan.

 

Hasil merosot, kerugian sebelum cukai meningkat

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), hasil kumpulan merosot 15.5% kepada RM38.06 juta berbanding RM45.04 juta pada FY2025.

 

Kemerosotan itu terutama disebabkan hasil perniagaan peruncitan tekstil dan produk berasaskan tekstil yang menyusut kepada RM34.71 juta daripada RM41.76 juta, manakala segmen pelaburan mencatatkan hasil RM3.35 juta berbanding RM3.28 juta sebelumnya.

 

Kerugian sebelum cukai meningkat kepada RM11.38 juta daripada RM8.68 juta pada tahun sebelumnya, manakala kerugian selepas cukai bertambah kepada RM11.96 juta berbanding RM8.20 juta.

 

Menurut Kamdar, prestasi berkenaan dipengaruhi permintaan pengguna yang lebih lemah, peningkatan kos operasi serta persaingan semakin sengit dalam sektor tekstil dan peruncitan.

 

“Kumpulan turut berdepan persaingan daripada platform e-dagang, pasaran dalam talian dan saluran perdagangan sosial termasuk TikTok, selain peruncit pakaian bajet, perniagaan fesyen pantas (fast fashion) serta kedai pakaian terpakai yang menawarkan produk pada harga kompetitif.

 

“Pada masa sama, peningkatan kos gaji pekerja, elektrik, sewa dan penyelenggaraan hartanah turut menekan margin keuntungan, sedangkan keupayaan untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna adalah terhad berikutan sensitiviti mereka terhadap harga,” kata Kamdar.

 

Tutup dua cawangan, kembangkan perniagaan dalam talian

Sebagai sebahagian langkah menyusun semula operasi runcit, Kamdar menutup cawangan Klang Paradise dan Kota Kinabalu sepanjang FY2026 selepas tamat tempoh perjanjian penyewaan masing-masing.

 

Pengurusan akan terus menilai prestasi setiap cawangan dan mempertimbangkan penyusunan semula operasi sekiranya perlu, dengan tumpuan mengekalkan premis yang masih berdaya maju serta meningkatkan produktiviti rangkaian peruncitannya.

 

Selain itu, kumpulan merancang mengembangkan perniagaan dalam talian bagi melengkapi operasi kedai fizikal sedia ada dan menjangkau pelanggan menerusi saluran digital sejajar perubahan corak pembelian pengguna.

 

Fokus kawalan kos dan pengurusan aliran tunai

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan berkurangan 6.67% kepada RM238.83 juta setakat 30 Jun 2026 berbanding RM255.91 juta setahun sebelumnya.

 

Jumlah liabiliti turut menurun kepada RM45.42 juta daripada RM52.03 juta, terutama disebabkan pembayaran balik pinjaman dan pengurangan liabiliti pajakan.

 

Bagaimanapun, aliran tunai daripada aktiviti operasi merosot kepada RM196,000 berbanding RM3.84 juta pada FY2025. Kumpulan turut merekodkan aliran keluar tunai bersih daripada aktiviti pembiayaan sebanyak RM5.01 juta.

 

Kamdar berkata kumpulan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dalam pengurusan perniagaan dengan memberi penekanan kepada pengurusan aliran tunai, kawalan kos, kecekapan operasi dan penggunaan sumber kewangan secara berkesan.

 

Kumpulan itu turut berhati-hati dalam membuat komitmen pelaburan besar sehingga kebolehlaksanaan komersial dan implikasi kewangannya dinilai dengan teliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved