Jualan kukuh bahan tambahan dedak haiwan tingkatkan 29% untung bersih Yenher pada 2QFY26

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan kukuh bahan tambahan dedak haiwan tingkatkan 29% untung bersih Yenher pada 2QFY26 Image from: Jualan kukuh bahan tambahan dedak haiwan tingkatkan 29% untung bersih Yenher pada 2QFY26 amree24/08/2026 - 16:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos — Jualan kukuh produk bahan tambahan dedak haiwan membantu Yenher Holdings Berhad meningkatkan 28.7% untung bersih kepada RM6.66 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan turut melonjak 36.8% kepada RM9.10 juta berbanding RM6.65 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan kasar meningkat 15.7% kepada RM16.02 juta.

 

Prestasi itu didorong terutamanya oleh jualan lebih tinggi produk bahan tambahan makanan haiwan di bawah segmen pengedaran, walaupun hasil segmen pembuatan terjejas oleh perubahan campuran jualan.

 

"Bagaimanapun hasil Yenher adalah susut kira-kira 0.6% kepada RM78.42 juta sepanjang tempoh tiga bulan berkenan," menurut makluman kumpulan penjagaan kesihatan haiwan itu kepada Bursa Malaysia.

 

Pendapatan kumpulan tersebut bagi 2QFY26 berjumlah RM78.42 juta, sedikit rendah berbanding RM78.90 juta setahun lalu, namun secara suku ke suku (QoQ) naik 28.5% daripada RM61.04 juta pada 1QFY26.

 

Selain itu jelasnya, keuntungan bersih secara QoQ turut meningkat kira-kira 25.4% daripada RM5.31 juta, manakala PBT pula didapati terus bertambah 23.9% daripada hanya sebanyak RM7.34 juta.

 

Yenher_DagangNews2026

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), hasil Yenher menyusut 7% kepada RM139.47 juta berbanding RM149.99 juta, namun keuntungan bersih syarikat melonjak 42.3% kepada RM11.96 juta.

 

"PBT bagi tempoh enam bulan berkenaan pula meningkat kira-kira 48.2% kepada RM16.44 juta, manakala keuntungan kasar bertambah 10.2% kepada sebanyak RM29 juta," katanya.

 

Kumpulan berkata, hasil 1HFY26 yang lebih rendah sebahagiannya berpunca daripada asas perbandingan lebih tinggi apabila pelanggan mempercepatkan pembelian pada tahun lalu sebelum perluasan cukai jualan berkuat kuasa.

 

Yenher turut memperkukuh kapasiti operasi dengan membelanjakan RM22.60 juta bagi perbelanjaan modal pada 1HFY26, termasuk pembinaan kilang baharu yang mematuhi standard amalan pengilangan baik (GMP).

 

Kilang yang dijangka siap menjelang akhir 2026 itu bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran tiga kali ganda kepada 31,200 tan setahun bagi produk pracampuran dan formulasi, di samping menempatkan gudang dan ibu pejabat.

 

Dalam masa sama, usaha sama (JV) 60%-milik Yenher, Yenher Bio Green Sdn Bhd, sudah memulakan pengeluaran di kemudahan biokonversi larva lalat askar hitam (BSF) bagi menyokong strategi kelestarian kumpulan dan menyediakan sumber protein baharu untuk portfolio pemakanan haiwan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved