Peningkatan kos jualan punca untung bersih Matrix Concepts jatuh 4.4% kepada RM60 juta bagi 1QFY27

Business & FinanceProperty
24 Aug 2026 • 3:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan kos jualan punca untung bersih Matrix Concepts jatuh 4.4% kepada RM60 juta bagi 1QFY27 Image from: Peningkatan kos jualan punca untung bersih Matrix Concepts jatuh 4.4% kepada RM60 juta bagi 1QFY27 amree24/08/2026 - 15:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 OgosMatrix Concepts Holdings Berhad berdepan dengan penyusutan keuntungan bersih kira-kira 4.4% kepada sebanyak RM60.2 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (1QFY27).

 

Situasi tersebut dipengaruhi peningkatan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang menjejaskan margin keuntungan kasar kepada 40.7% berbanding 44.1% dicatatkan pada tempoh suku sama tahun sebelumnya.

 

Prospek jangka panjang syarikat hartanah ini namun positif disokong jualan tidak berbil yang kukuh bernilai RM1.5 bilion, dan mampu memberi keterlihatan hasil bagi 15 hingga 18 bulan akan datang.

 

Selain itu, pelaksanaan strategi pertumbuhan jangka panjang menerusi pembesaran portfolio tanah strategik dan peluasan ke pasaran baharu akan memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan.

 

"Berdasarkan laporan kewangan interim terbaharunya, hasil naik 11.0% kepada RM315.6 juta, dengan segmen pembangunan hartanah terus kekal sebagai pemacu utama," jelas Matrix Concepts kepada bursa.

 

Ia menjana pendapatan RM296 juta atau 93.8%, namun keuntungan selepas cukai (PAT) keseluruhan susut kira-kira 4.8% kepada sebanyak RM61.1 juta akibat beberapa kos operasi kumpulan itu yang meningkat.

 

Penyusutan ini dipengaruhi oleh perbelanjaan jualan dan pemasaran yang naik 43.0% kepada RM4.9 juta didorong aktiviti promosi serta pembayaran komisen jualan projek pembangunan sedia ada dan baharu.

 

Matrix Concepts_DagangNews2026

 

Sementara itu ujar Matrix Concepts, perbelanjaan pentadbiran dan am berjaya dikawal secara berkesan pada paras RM43.2 juta berikutan amalan disiplin kos berterusan dilaksanakan kumpulan tersebut.

 

"Walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan, prestasi keuntungan tetap disokong oleh kemajuan yang positif daripada projek perbandaran baharu MVV City dan pasaran hartanah Lembah Klang," jelasnya.

 

Mengulas mengenai sumbangan projek, perbandaran Sendayan di Negeri Sembilan kekal sebagai nadi utama dengan menyumbangkan hasil RM176.7 juta, atau 56.0% daripada jumlah hasil kumpulan itu.

 

Sementara itu, strategi pengembangan di Lembah Klang menunjukkan pertumbuhan menerusi Levia Residence di Kuala Lumpur, berjaya menjana pendapatan sebanyak RM52.7 juta sepanjang suku ini.

 

Matrix Concepts juga meraih manfaat daripada pengambilalihan syarikat Horizon L&L Sdn Bhd pada Ogos 2025 yang menyumbang hasil RM18.3 juta, dengan fokus kepada koridor pertumbuhan Sepang dan Banting.

 

"Satu lagi pemangkin penting ialah projek perbandaran bersepadu Malaysia Vision Valley (MVV) City bersama-sama Kerajaan Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion," katanya.

 

Meskipun mencatatkan penyusutan kecil untung bersih, syarikat tetap komited dalam memulangkan nilai pelaburan kepada pemegang saham dengan mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat.

 

Tindakan tersebut membuktikan keupayaan aliran tunai dan daya tahan perniagaan Matrix Concepts dalam menghadapi keadaan ekonomi yang lebih mencabar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved