liza09/09/2026 - 17:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Teleport, cabang logistik Capital A Bhd, mencatat peningkatan hasil sebanyak 35% tahun ke tahun kepada AS$156.4 juta bagi separuh pertama 2026 (1H26), didorong permintaan e-dagang yang terus kukuh di rantau ini.
Keuntungan operasi bersih Teleport meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$2.7 juta berbanding AS$700,000 pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 15% kepada AS$12.1 juta.
Syarikat itu turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak AS$3.1 juta dengan suku kedua 2026 menjadi suku keempat berturut-turut Teleport mencatat keuntungan.
Pertumbuhan permintaan e-dagang sepanjang tempoh berkenaan mendorong peningkatan jumlah penghantaran serta margin keuntungan Teleport yang terus mengukuhkan prestasi kewangannya pada separuh pertama tahun ini.
Jumlah kargo yang dikendalikan meningkat 18% tahun ke tahun kepada 182,660 tan manakala jumlah bungkusan yang dihantar hampir dua kali ganda kepada 118.2 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan Kargo Mengatasi Pasaran Serantau
Prestasi Teleport turut mengatasi pertumbuhan pasaran kargo udara serantau, khususnya di Asia Tenggara apabila jumlah kargonya meningkat 34% pada 1H26, hampir tiga kali ganda berbanding pertumbuhan pasaran serantau sebanyak 12%.
Di rantau Asia Pasifik pula, hasil Teleport meningkat 26% manakala jumlah kargo bertambah 12%, berbanding pasaran kargo udara Asia Pasifik secara keseluruhan yang masing-masing mencatat penurunan 3% bagi hasil dan 5% bagi jumlah kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata rangkaian operasi yang menggunakan model aset ringan dan gabungan pelbagai kapasiti penerbangan membolehkan syarikat mengekalkan pertumbuhan jumlah kargo walaupun berdepan turun naik harga bahan api jet serta ketidakstabilan laluan kargo udara di Timur Tengah.
Menurutnya, peningkatan jumlah kargo di seluruh rangkaian Teleport mula memberi manfaat kepada keuntungan syarikat dengan kesan skala operasi itu dapat dikekalkan dari satu suku ke satu suku berikutnya.
Bagi separuh kedua 2026, Teleport merancang menggunakan modal pertumbuhan sebanyak AS$50 juta bagi membuat persediaan menghadapi musim puncak e-dagang, dengan tumpuan kepada penambahan kapasiti daripada syarikat penerbangan pihak ketiga serta pembukaan laluan baharu.
Perluas Rangkaian Dan Kapasiti Penerbangan
Antara laluan baharu yang dirancang termasuk perkhidmatan China-Timur Tengah melalui hab Bahrain, hubungan Asia-Oceania, laluan Pulau Pinang-Eropah melalui Maldives serta laluan China-Filipina.
Pete berkata langkah itu akan meningkatkan fleksibiliti rangkaian Teleport untuk mengekalkan keupayaan operasinya dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Beliau berkata kapasiti kargo daripada pesawat syarikat penerbangan selain AirAsia menyumbang 44% daripada keseluruhan hasil Teleport pada suku kedua 2026, menunjukkan peningkatan sumbangan rangkaian yang melibatkan pelbagai syarikat penerbangan rakan kongsi.
Rangkaian kapasiti Teleport kini menggabungkan ruang kargo dalam pesawat AirAsia, kapasiti daripada 55 syarikat penerbangan rakan kongsi serta pesawat kargo khusus yang memberi lebih banyak pilihan kepada syarikat untuk mengurus perubahan dan gangguan dalam pasaran.
Penggunaan kapasiti daripada syarikat penerbangan pihak ketiga meningkat 7% tahun ke tahun pada 1H26, manakala penggunaan pesawat kargo khusus melonjak 89%.
Teleport turut memperluas kerjasama dengan syarikat penerbangan, termasuk perjanjian kapasiti baharu dengan MASkargo bagi laluan Phnom Penh, lanjutan kontrak ejen jualan am Turkish Cargo dari Kuala Lumpur serta tambahan kapasiti pesawat kargo Myanmar Airways International di Yangon.
Kini, rangkaian Teleport meliputi lebih 290 bandar di 80 negara di Asia Pasifik dan pasaran lain, manakala berdasarkan data WorldACD, Teleport berada di kedudukan pertama di Asia Tenggara dan kesembilan di Asia dari segi jumlah kargo yang dikendalikan. - DagangNews.com





