hamden20/08/2026 - 15:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos - Hong Leong Industries Bhd (HLI) berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan berterusan permintaan motosikal di Malaysia sepanjang tahun kewangan 2027 (FY27), tahun di mana pilihan raya umum ke-16 dijangka diadakan.
CGS International (CGSI) berkata, sejarah menunjukkan jualan motosikal lazimnya menerima rangsangan pada tahun pilihan raya, sekali gus memberikan prospek positif kepada HLI yang menguasai lebih 50% bahagian pasaran motosikal di Malaysia menerusi jenama Yamaha.
"Kami menjangkakan kecairan berkaitan pilihan raya dan pengurangan kuota subsidi petrol berpotensi mendorong peningkatan jualan.
"Kami percaya HLI berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan motosikal yang berterusan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada FY26, jualan motosikal Yamaha meningkat 2.7% tahun ke tahun, membantu meningkatkan hasil HLI sebanyak 3.3% kepada RM3.7 bilion.
Permintaan yang kukuh itu turut disokong oleh pelancaran model baharu, kenaikan harga bahan api serta perubahan dalam mekanisme subsidi petrol.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, jualan motosikal di Malaysia meningkat 10% tahun ke tahun kepada 378,000 unit, mencerminkan permintaan domestik yang masih kukuh.
Segmen Automatik Premium Kekal Margin Pada Paras Tinggi
Selain pertumbuhan jumlah jualan, HLI turut dijangka mendapat manfaat daripada strategi premiumisasi produk apabila syarikat itu memperluaskan penawaran dalam segmen motosikal automatik berharga lebih tinggi.
"Kami menjangkakan HLI akan terus melancarkan lebih banyak model dalam segmen automatik premium serta motosikal berkuasa besar sepanjang separuh kedua 2026 hingga 2027, sekali gus membantu mengekalkan margin kasar pada paras tinggi.
Pada FY26, HLI mencatatkan untung bersih teras RM574 juta, meningkat 15% tahun ke tahun dan merupakan prestasi tertinggi dalam sejarah syarikat.
Bagi suku keempat FY26 pula, untung bersih teras meningkat 23% tahun ke tahun kepada RM143.6 juta.
Kedudukan kewangan HLI juga kekal kukuh dengan tunai bersih RM1.91 bilion setakat Jun 2026, bersamaan kira-kira 33% daripada permodalan pasarannya.
Susulan prestasi tersebut, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan “Tambah” terhadap HLI dengan harga sasaran RM26.30 sesaham berdasarkan kaedah Gordon Growth Model (GGM).
Pada penilaian semasa, HLI didagangkan pada 9.1 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) CY27F, atau hanya 6.1 kali selepas mengambil kira kedudukan tunainya.
Saham itu juga dijangka menawarkan hasil dividen sekitar 7.2%, selain disokong pulangan atas ekuiti (ROE) yang kukuh melebihi 23%. - DagangNews.com






