hamden12/08/2026 - 10:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pendapatan Kumpulan MR DIY dijangka kembali mengukuh pada separuh kedua 2026 (2H26), disokong pemulihan margin keuntungan kasar (GPM), penyusutan tekanan kos serta peningkatan jualan kedai susulan inisiatif pengubahsuaian.
RHB Research berkata, pemulihan beransur-ansur sentimen pengguna turut dijangka membantu prestasi kumpulan, selepas jualan yang lebih lemah dan peningkatan perbelanjaan operasi (opex) menjejaskan keputusan separuh pertama 2026 (1H26).
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap MR DIY, walaupun sasaran harga (TP) diturunkan kepada RM2.03 daripada RM2.20, yang masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 33% serta hasil dividen kira-kira 7%.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek MR DIY turut berpotensi mendapat manfaat daripada Bajet 2027 yang lebih menyokong, sekali gus boleh meningkatkan minat pelabur terhadap saham tersebut, terutama pada penilaian semasa yang menarik, hasil dividen yang tinggi serta pulangan atas ekuiti (ROE) yang semakin berkembang.
“Walaupun sentimen pengguna mungkin terjejas dengan ketara pada 2Q26 akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan kebimbangan inflasi susulan, kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur apabila keadaan keseluruhan bertambah baik,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu turut berpandangan kesan peningkatan kos terhadap MR DIY masih terkawal setakat ini, manakala kadar tambang pengangkutan telah kembali normal selepas mengalami lonjakan sebelum ini.
Utamakan Kualiti Lokasi
Sementara itu, MBSB Research berkata, pengurusan mengekalkan sasaran membuka 155 kedai baharu bagi FY26 serta sasaran jangka panjang sebanyak 2,000 kedai menjelang 2028.
Namun, pembukaan kedai setahun penuh mungkin mengalami sedikit tekanan kerana kumpulan kini lebih mengutamakan pemilihan lokasi berkualiti berbanding mengejar jumlah kedai semata-mata.
"Strategi itu dilihat membuahkan hasil apabila kedai baharu yang dibuka pada 1HFY26 mencatatkan jualan bagi setiap kaki persegi kira-kira 20% lebih tinggi berbanding kedai baharu yang dibuka pada FY25.
"Kedai yang ditukar atau diperbaharui pula mencatatkan peningkatan jualan bagi setiap kaki persegi melebihi 25% berbanding paras sebelum penukaran. Setakat ini, sebanyak 142 kedai telah diperbaharui," katanya.
MBSB Research berkata, walaupun prestasi 2QFY26 lebih sederhana susulan faktor masa perayaan, aktiviti promosi dan peningkatan kos, MR D.I.Y. masih berada pada landasan yang baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan pengguna terhadap produk mampu milik.
"Kami kekal positif terhadap proposisi nilai kumpulan, pertumbuhan transaksi, peningkatan kualiti kedai dan penghantaran dividen yang kukuh," katanya.
Sehubungan itu firma itu mengekalkan saranan 'BELI' dengan TP RM2.13, tanpa perubahan terhadap unjuran pendapatan bagi FY26 dan tahun-tahun berikutnya. - DagangNews.com






