hamden18/08/2026 - 08:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malakoff Corp Bhd dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26), disokong pemulihan keuntungan Tanjung Bin Power (TBP) susulan rotor penjana turbin stim yang kembali beroperasi bulan ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham Malakoff dengan harga sasaran (TP) RM1.06, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 22%, selain hasil FY26F sekitar 4%.
Menurutnya, pemulihan TBP dijangka menjadi antara pemangkin utama prestasi 2H26, manakala penetapan semula kadar gangguan tidak berjadual (UOR) TBP pada 2027 berpotensi membolehkan syarikat menerima bayaran kapasiti penuh.
“Selain itu, tali sawat penghantar di jeti Tanjung Bin kembali beroperasi pada Jun, manakala kerja pembersihan serpihan di tapak telah selesai sepenuhnya.
“Kami melihat potensi peningkatan positif daripada tuntutan insurans bagi kedua-dua gangguan tersebut, dan telah mengandaikan kos tambahan transhipment sebanyak RM40 juta bagi FY26,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi 1H26, keuntungan Malakoff hanya mencapai 30% daripada anggaran setahun penuh penganalisis, namun selaras dengan konsensus pada 46% daripada unjuran setahun penuh.
Perbezaan utama berbanding unjuran adalah kadar cukai efektif (ETR) yang lebih tinggi, iaitu 51% pada 2Q26 berbanding 17% setahun sebelumnya.
Akibatnya, purata ETR bagi 1H26 meningkat kepada 40%, berbanding 21% pada tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan perbelanjaan yang tidak boleh ditolak cukai.
RHB Research berkata sekiranya Malakoff mengekalkan ETR pada 19%, keuntungan 1H26 akan selaras dengan anggaran mereka.
Prospek Jangka Sederhana
Dari segi prospek jangka sederhana, Malakoff telah menempah empat turbin sebagai sebahagian daripada rancangan membina dua loji janakuasa gas baharu berkapasiti 1.4GW setiap satu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Segari, Perak.
Pihak pengurusan menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun bagi loji 1.4GW pertama menjelang 1H27, dengan pentauliahan disasarkan pada 2031, manakala loji 1.4GW kedua disasarkan mula beroperasi pada 2032.
RHB Research berkata, pentauliahan kedua-dua loji itu tepat pada masanya untuk menggantikan TBP, yang PPA-nya akan tamat pada September 2031.
“Dengan andaian Malakoff memenangi bidaan untuk membina loji 1.4GW baharu, kami menganggarkan perkara ini akan meningkatkan TP kami sebanyak 39%,” katanya.
Tiada sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY26-28F dilakukan sementara menunggu panduan lanjut daripada pihak pengurusan pada taklimat penganalisis syarikat pada 18 Ogos.
TP RM1.06 itu, termasuk diskaun ESG sebanyak 12%, adalah berdasarkan 24 kali P/E FY27F, hampir +1 sisihan piawai (+1SD) daripada purata, bagi mencerminkan peningkatan keuntungan serta prospek loji gas baharu. - DagangNews.com






