'Jualan Sayang Rakyat perlu diperluas, bantu rakyat'

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jualan Sayang Rakyat perlu diperluas, bantu rakyat'
Rais (dua dari kiri) pada program Jualan Sayang Rakyat di Sungai Udang, Melaka.

MELAKA - Program Jualan Sayang Rakyat disarankan supaya diteruskan dan diperluas ke lebih banyak lokasi bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati penjimatan pembelian barangan keperluan harian, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, program yang dilaksanakan di sembilan lokasi sekitar DUN berkenaan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Menurutnya, inisiatif itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, termasuk jualan ayam pada harga RM5 serta penawaran daging pada harga berpatutan.

Katanya, pelaksanaan program di sembilan lokasi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati manfaat tanpa perlu bergantung kepada satu lokasi sahaja.

“Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan program seperti ini memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam membantu mengurangkan perbelanjaan barangan keperluan dapur.

“Justeru, program seumpama ini perlu diteruskan secara konsisten dan diperluas ke lebih banyak lokasi supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk,” katanya.

Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, penawaran barangan keperluan pada harga mampu milik dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga, terutama ketika perbelanjaan harian semakin mencabar.

Menurutnya, penjimatan yang diperoleh menerusi program berkenaan membolehkan keluarga menguruskan kewangan dengan lebih baik, sekali gus menyediakan ruang untuk memenuhi keperluan lain.

“Usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan amat penting kerana perbelanjaan dapur merupakan antara komitmen utama setiap isi rumah.

“Dengan meneruskan dan memperluas program ini, lebih ramai penduduk berpeluang menikmati penjimatan secara langsung dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata, program Jualan Sayang Rakyat bukan sekadar menawarkan harga lebih rendah, malah menjadi pendekatan untuk mendekati masyarakat serta memahami keperluan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif berkenaan dapat diperkasakan dan diperluas secara berterusan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved