liza30/09/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – Astro Malaysia Holdings Berhad mencatat kerugian RM28.8 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026, berbanding keuntungan RM15.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, apabila hasil kumpulan terus menyusut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro berkata hasil kumpulan bagi suku kedua FY2027 turun 7.2% kepada RM633.8 juta daripada RM683.2 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 23% kepada RM129.8 juta.
Margin EBITDA turut mengecil kepada 20.5% daripada 24.7%, manakala kumpulan mencatat kerugian sebelum cukai RM28.6 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM20.4 juta pada suku sama tahun lalu.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY2027, hasil Astro susut 6.7% kepada RM1.293 bilion, dengan kumpulan mencatat kerugian bersih RM28.5 juta berbanding keuntungan bersih RM29.4 juta setahun sebelumnya.
Kemerosotan itu terutama berpunca daripada segmen televisyen apabila hasilnya turun 7.5% kepada RM606 juta, dengan hasil langganan menyusut 8% manakala hasil pengiklanan merosot 21%.
Segmen televisyen turut mencatat penurunan EBITDA sebanyak 23.5% dan beralih kepada kerugian sebelum cukai RM32.6 juta daripada keuntungan RM17 juta setahun sebelumnya.
Astro percepat peralihan kepada penstriman
Sebaliknya, perniagaan radio menunjukkan prestasi lebih baik dengan hasil RM27.7 juta pada suku kedua berbanding RM28.1 juta setahun sebelumnya, manakala EBITDA melonjak 177.8% kepada RM2.5 juta dan keuntungan sebelum cukai meningkat 29% kepada RM1.8 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY2027, hasil radio meningkat 8.8% kepada RM66.5 juta, manakala EBITDA naik 27.3% kepada RM15.4 juta dan keuntungan sebelum cukai meningkat 8% kepada RM14 juta.
Kos kewangan Astro bagaimanapun meningkat kepada RM56.3 juta pada suku kedua daripada RM29.2 juta setahun sebelumnya, selain kumpulan turut terkesan kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang belum direalisasikan daripada liabiliti pajakan yang tidak mempunyai lindung nilai (unhedged).
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah liabiliti Astro berkurang kepada RM3.446 bilion pada 31 Julai 2026 daripada RM3.646 bilion pada 31 Januari 2026, manakala jumlah pinjaman turut berkurang kira-kira RM61.8 juta selepas pembayaran balik pinjaman dan liabiliti pajakan.
Dalam pada itu, Astro mempercepat perubahan model perniagaannya daripada televisyen berbayar tradisional kepada penstriman dan kandungan digital, termasuk melalui Astro X3 dan pengembangan Sooka, dengan Astro X3 menawarkan perkhidmatan penstriman tanpa memerlukan kotak atau pemasangan.
Kumpulan juga merancang pilihan tanpa kontrak serta pakej pada harga lebih rendah bagi meluaskan asas pelanggan, selain memanfaatkan kandungan tempatan yang menyumbang 84% daripada masa tontonan pelanggan dan menghasilkan lebih 10,000 jam kandungan baharu setahun.
Bagi prospek, Astro tidak memberikan unjuran keuntungan bagi FY2027 dan menyatakan persekitaran operasi kekal tidak menentu, dengan kumpulan memberi tumpuan kepada pengurusan kos, pengembangan perniagaan digital serta penstriman, manakala Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan pembayaran dividen interim bagi suku kedua FY2027. - DagangNews.com






