Projek pembinaan resort RM1 bilion oleh syarikat hartanah Taiwan di Papar, Sabah capai 34%

29 Sep 2026 • 3:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek pembinaan resort RM1 bilion oleh syarikat hartanah Taiwan di Papar, Sabah capai 34% Image from: Projek pembinaan resort RM1 bilion oleh syarikat hartanah Taiwan di Papar, Sabah capai 34% liza29/09/2026 - 15:39 Gambar ilustrasi projek apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept – Projek resort bernilai RM1 bilion milik kumpulan hartanah Taiwan, Sinyi Group di Melinsung, Papar, Sabah mencatat kemajuan pembinaan keseluruhan 34.1% setakat September 2026.

 

Hotel utama projek InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort itu pula mencapai kemajuan 47.7% dan dijadualkan dibuka pada Disember 2027, manakala keseluruhan resort dijangka beroperasi pada 2028.

 

Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama IHG Hotels & Resorts sebagai rakan pengendali dan meliputi kawasan lebih 32.4 hektar.

 

Hotel utama akan menawarkan 418 bilik dan unit penginapan serta bakal menjadi hotel lima bintang pertama di Papar.

 

Apabila siap, projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 700 peluang pekerjaan selain memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan dalam sektor makanan, pengangkutan, bekalan dan perkhidmatan pelancongan.

 

Pelaburan itu dibuat ketika industri pelancongan Sabah terus berkembang, dengan negeri berkenaan merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat pada 2025, meningkat 20.5% berbanding tahun sebelumnya, manakala sumbangan sektor pelancongan mencecah RM8.74 bilion.

 

Pelaburan turut meliputi pemuliharaan alam sekitar

Selain pembangunan resort di Papar, Sinyi turut memberi komitmen untuk melaksanakan usaha pemulihan terumbu karang, perlindungan kawasan peneluran penyu dan penanaman pokok di Pulau Mengalum untuk tempoh 10 tahun.

 

Pulau Mengalum yang terletak kira-kira 56 kilometer barat laut Kota Kinabalu terkenal dengan pantai, perairan jernih dan terumbu karangnya.

 

Sinyi dilaporkan memperoleh kira-kira 300 hektar tanah di pulau itu pada 2019 dan merancang membangunkan resort mewah berkepadatan rendah, dengan kira-kira 95% keperluan elektrik dijangka datang daripada tenaga solar yang disokong sistem penyimpanan bateri.

 

Penolong pengurus besar Sinyi Realty Malaysia, Henry Chou berkata, Sabah kekal menarik kepada pelabur walaupun berdepan cabaran termasuk kekurangan bahan binaan dan kepakaran teknikal.

 

Bagi Januari hingga Julai 2026, Sabah merekodkan 2.24 juta ketibaan pelawat, meningkat 5.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dan negeri itu menyasarkan empat juta ketibaan bagi keseluruhan tahun ini.

 

Peningkatan jumlah pelawat itu turut menyediakan asas permintaan kepada hotel yang menyasarkan pelancong antarabangsa, pelancong domestik dan pengunjung atas urusan perniagaan, walaupun pasaran Sabah dijangka menerima lebih banyak bilik baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved