
SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri tidak mengetepikan pemberian insentif kemenangan kepada jurulatih dan pegawai sukan yang terlibat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, individu di belakang tabir termasuk persatuan sukan turut layak menerima insentif sekiranya atlet yang dibimbing berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen Selangor.
"Memang kita tidak mengetepikan jurulatih, pegawai sukan dan persatuan sukan. Memang kita ada peruntukan insentif kemenangan kepada mereka...perincian akan diberikan.
"Setiap kali SUKMA memang disediakan dan insentif kemenangan tidak diberikan kepada atlet semata-mata tetapi juga mereka terlibat di belakang tabir," katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kassim berhubung insentif kemenangan kepada jurulatih pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas venue acara pelayaran di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Mohd Najwan berkata kerja naik taraf kemudahan di lokasi itu telah siap sepenuhnya dan sedia digunakan bagi penganjuran SUKMA.
"Kita ada turun ke Dataran Pantai Batu Laut untuk menjayakan larian obor dan pertama kali bawa obor ke tepi pantai. Di peringkat pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kuala Langat sudah menaik taraf kemudahan pantai khususya di venue untuk SUKMA.
"Dari semasa ke semasa kita akan pastikan dataran bukan hanya untuk persiapan acara sahaja tetapi keselesaan pengunjung dan peminat sukan perahu layar.
"Saya dimaklumkan juga semua inap desa di Batu Laut sudah penuh... jadi penganjuran sukan bukan hanya promosi sukan tetapi inap desa juga," katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri melihat penganjuran temasya dwitahunan itu sebagai peluang terbesar untuk melonjak dan mempromosikan pembangunan sukan negeri secara menyeluruh.
"Ini disebabkan terdapat infrastuktur sukan yang telah dinaik taraf telah mencapai standard penganjuran di peringkat antarabangsa antaranya Kolam Renang Pusat Akuatik Darul Ehsan, Lapang Sasar menembak Subang 3 dan Padang Hoki Stadium Pandamaran.
"Selepas tamat SUKMA, Majlis Sukan Negeri Selangor akan terus mengatur strategi pembangunan sukan dalam melahirkan atlet secara menyeluruh bagi memastikan kelangsungan pelan pembangunan sukan negeri," katanya.






