Kelantan sasar 16 emas di Sukma

5 Aug 2026 • 12:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kelantan sasar 16 emas di Sukma

KOTA BHARU: Kontinjen Kelantan yakin sasaran membawa pulang 16 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-22, di Selangor pada 15 hingga 24 ogos ini mampu dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, ia mampu dicapai bersandarkan kepada prestasi semasa atlet yang dibariskan pada kejohanan itu nanti selain muka baharu.

Katanya, sasaran emas meningkat hampir sekali ganda, iaitu daripada tujuh pada 2024 kepada 16 pingat emas edisi kali ini.

“Atlet baharu, maka sasaran juga baharu dan itulah dinamika Sukma. Keseluruhan kita mahu bawa pulang 37 pingat.

“Daripada jumlah sasaran pingat keseluruhan itu, pihaknya menyasarkan kontinjen Kelantan akan membawa pulang 16 pingat emas, tujuh perak dan 11 gangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat dan Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kelantan ke Sukma 22 Selangor dan Para Sukma Selangor 2026.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Kontinjen Kelantan memberitahu, seramai 751 anggota kontinjen negeri merangkumi 582 atlet dan 169 pegawai bakal berlepas lebih awal ke Selangor berikutan terdapat beberapa acara sukan akan dimulakan lebih awal, iaitu bermula 13 Ogos ini.

Katanya, ini merupakan penyertaan terbesar kontinjen Kelantan dalam Sukma dan keputusan untuk berlepas lebih awal dibuat bagi membolehkan atlet-atlet negeri membuat persiapan terakhir sekali gus menyesuaikan diri dengan venue pertandingan.

“Bagi edisi ini, Kelantan akan mengambil bahagian dalam 35 daripada keseluruhan 37 acara sukan dipertandingkan dan majoriti emas dijangka hadir dari sukan kombat seperti pencak silat, taekwondo, judo, muay thai, wushu, silambam dan sebagainya.

“Kita turut jangka sukan-sukan lain seperti memanah, lumba basikal dab futsal akan turut menyumbang pingat. Bagi olahraga, kita menjangkakan pingat emas dari acara 100 meter berpagar, lompat jauh dan lompat kijang,” katanya.

Tambahnya, Kelantan akan turut menghantar kontinjen seramai 93 orang yang terdiri daripada 62 atlet bersama 31 pegawai untuk bertanding dalam lapan daripada 10 acara dipertandingkan dalam Para Sukma Selangor 2026 yang bakal berlangsung mulai 5 hingga 10 September ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau telah mencapai 36.4 peratus setakat Jun lalu, berbanding unjuran 35.5 peratus mengikut jadual dan berada pada landasan terbaik untuk disiapkan mengikut garis masa ditetapkan, menuju kepada Sukma ke-23 Kelantan 2028.

“Pembangunan stadium utama juga sudah dimulakan dan secara keseluruhan, kemajuan pembinaannya adalah mengikut jadual. Kalau ada kelewatanpun setakat satu hingga dua peratus sahaja.

“Pembangunan lain-lain fasiliti juga menampakkan kemajuan yang baik seperti Kompleks Sukan Jeli mencapai 81 peratus, Pusat Akuatik mencapai 23 peratus dan gelanggang skuasy dan lumba basikal mencapai 16.7 peratus. Jadi semua mengikut jadual,” ujarnya.-UTUSAN

The post Kelantan sasar 16 emas di Sukma appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved