Mineral RM31.69 juta disita, 30 ditahan

21 Aug 2026 • 7:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mineral RM31.69 juta disita, 30 ditahan

IPOH: Sebanyak 3,714 tan pasir silika siap diproses dan pelbagai mineral lain bernilai kira-kira RM31.69 juta dirampas dalam Op Gali Mega yang dilaksanakan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak dan Kedah, semalam.

Operasi khas itu dijalankan serentak dari pukul 7 pagi hingga tengah malam dengan kekuatan 64 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Briged Utara, Batalion 1, Batalion 3 dan Batalion 18 PGA.

Pemangku Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Jafri Muhamad berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan terhadap empat premis di Perak dan Kedah yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan dan pemprosesan mineral tanpa kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Katanya, seramai 30 individu ditahan dalam serbuan itu membabitkan 12 lelaki dan dua wanita warga tempatan selain 15 lelaki dan seorang wanita warga asing.

“Kesemua mereka dipercayai pengurus premis serta pekerja di premis pemprosesan dan tapak perlombongan yang diserbu.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan perlombongan pasir silika, kaolin dan bijih besi tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Op Gali Mega di Ibu Pejabat PGA Ulu Kinta, di sini hari ini.

Menurut Jafri, rampasan turut membabitkan 900 guni serbuk separa kaolin seberat kira-kira 45 tan dan 30 jumbo bag serbuk separa kaolin seberat kira-kira 15 tan.

“Selain itu, kami turut merampas kira-kira 60 kilogram konsentrat bijih besi gred rendah serta pelbagai jenis mesin dan jentera yang dipercayai digunakan untuk mengekstrak dan memproses kaolin serta pasir silika.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM31,688,800,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, semua barang kes berkaitan pemprosesan pasir silika dan bijih besi itu telah diserahkan kepada JMG untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016.

Katanya, PTG Perak dan Kedah turut mengambil tindakan mengikut Seksyen 425 dan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 berkaitan kesalahan menceroboh dan mengangkut bahan batuan tanpa kebenaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 turut dijalankan ke warga asing terlibat melibatkan kesalahan tinggal tanpa dokumen sah serta menggaji pekerja tanpa permit.

“Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Kubang Pasu telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja dan notis meruntuh terhadap struktur yang dibina tanpa kelulusan,” katanya. – UTUSAN

The post Mineral RM31.69 juta disita, 30 ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved