
PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan mengalami kesesakan kira-kira enam kilometer susulan sebuah lori terbalik di Kilometer (KM) 272.9 petang tadi.
Menurut maklumat trafik, kemalangan yang berlaku di laluan Nilai menuju Bandar Ainsdale itu menyebabkan lorong kanan dan tengah terhalang.
Kejadian berkenaan sekali gus mengakibatkan trafik perlahan dengan kesesakan dilaporkan berlaku dari Bandar Baru Nilai hingga Bandar Ainsdale.
Imej yang dikongsikan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menunjukkan lori berkenaan terbalik merentangi sebahagian laluan, sementara kenderaan dilihat beratur panjang di lokasi kejadian.
Berdasarkan perkongsian Astro Radio Traffic pada pukul 5.53 petang, aplikasi navigasi Waze menganggarkan kelewatan perjalanan sehingga kira-kira 40 minit susulan insiden tersebut.
Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati pengguna media sosial turut memuat naik perkembangan terkesan dengan kesesakan di lokasi yang sama.
“Yang tengah tersekat kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selayan dari Nilai-Seremban moga bertabah. Ada kemalangan treler terbalik, macam tiga lorong kanan tutup. Keluar Nilai ikut Jalan Labu. Sesak dari Nilai sampai Seremban, tak gerak,” kata Mina. – KOSMO! ONLINE
The post Lori terbalik, sesak enam kilometer di Nilai-Seremban appeared first on Kosmo Digital.





