Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 12:41 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebanyakan orang lebih memilih untuk berhenti menjalankan tugas sebaik sahaja tamat waktu bekerja namun tidak bagi kebanyakan mereka yang bekerja dalam sektor keselamatan dan kesihatan.

Itu juga yang dilakukan oleh seorang jururawat ini yang tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan menyelamatkan individu meskipun sedang ‘off duty’ dalam satu kejadian pada 4 Mei lalu.

Jururawat Sedang Tunggu Giliran Rawatan Susulan Anak

Perkara itu dikongsikan oleh Hospital Pantai Ipoh dalam satu hantaran di Facebook sebagai menghargai perbuatan wanita terbabit sempena Hari Jururawat Sedunia baru-baru ini.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, jururawat yang dikenali sebagai Siti Maisyura dari wad 2B hospital berkenaan baru sahaja menamatkan syif malam dan sedang menunggu janji temu susulan anaknya berhampiran sebuah kafe.

Sedang Siti Maisyura yang hanya berpakaian t-shirt dan berseluar panjang bermain telefon sambil menunggu, seorang wanita di kafe berhampiran tiba-tiba tercekik dan mengalami kesukaran bernafas.

Jururawat Selamatkan Individu Tercekik Guna Teknik Heimlich Maneuver

Melalui video berkenaan, dapat dilihat salah seorang ahli keluarga wanita itu cuba menepuk bahagian belakang badan wanita terbabit untuk membantunya namun gagal.

Suasana cemas itu disedari oleh Siti Maisyura yang kemudiannya bertindak pantas pergi ke arah wanita terbabit dan melakukan teknik Heimlich Maneuver bagi menyelamatkan nyawanya.

Dek kerana tindakan pantas Siti Maisyura, mangsa berjaya diselamatkan dan dapat bernafas seperti biasa.

“Dalam situasi mencemaskan, Siti Maisyura bukan sekadar jururawat namun penyelamat,” tulis laman berkenaan.

Warganet Zahir Penghargaan Buat Jururawat Selamatkan Nyawa

Hantaran yang telah mendapat lebih 102,000 tontonan dan turut dikongsikan di Instagram itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memuji tindakan jururawat berkenaan yang tidak berkira dan pantas menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, ada yang berpendapat setiap individu khususnya pekerja restoran seharusnya mengetahui teknik menyelamat seperti CPR dan Heimlich agar dapat digunakan dalam waktu kecemasan begini.

Teknik Heimlich Bantuan Awal Selamatkan Individu Tercekik

Untuk info, teknik Heimlich Maneuver merupakan antara teknik pertolongan awal yang digunakan untuk mengatasi kejadian tersedak atau tercekik sehingga menyumbat saluran udara.

Menurut hantaran di Poliklinik Permai Tawau, Sabah, teknik ini melibatkan pemberian tekanan kepada perut mangsa untuk mengeluarkan benda asing tersebut.

Klinik berkenaan turut berkongsi langkah untuk melakukan teknik Heimlich Maneuver bagi menyelamatkan seseorang dari tercekik.

  1. Berdiri belakang mangsa
  2. Lingkarkan tangan di pinggang
  3. Buat genggaman penumbuk di atas pusat
  4. Tekan dengan kuat ke dalam dan ke atas

Video Langkah Buat Teknik Heimlich Untuk Bantu Orang Tercekik

Masih tak dapat nak gambarkan bagaimana cara sebenar? Berikut kami kongsikan video dari seorang pengamal perubatan, Dr Tium Wei Nie tentang langkah tepat melakukan teknik Heimlich Maneuver.

@drwinnie_oe Heimlich Maneuver ni ilmu yang sangat penting untuk semua orang belajar ya. Especially mummy & daddy yang ada anak kecil. Kes tercekik ni boleh berlaku kat bila2 masa sahaja #heimlich #choking #basiclifesupport #cprhero@Cprheroes ♬ A warm piano instrumental ballad(808701) – NOPPO MUSIC

Teknik Heimlich Untuk Bantu Bayi Tercekik

Namun langkah teknik Heimlich ini berbeza buat bayi. Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di Facebook ada berkongsi cara tepat teknik ini buat si manja anda.

Cara melakukan teknik Heimlich pada bayi adalah dengan:

  1. Pegang bayi dengan satu tangan, pastikan kedudukan kepala si manja ke bawah dan lebih rendah dari badan.
  2. Tepuk lima kali di antara tulang belikat dengan menggunakan satu tangan.
  3. Pusingkan si manja dan kekal memegangnya menggunakan satu tangan. Dengan menggunakan dua atau tiga jari, tekan bahagian tengah dada mereka sebanyak lima kali.
  4. Ulang semula langkat di atas sehingga objek tersekat terkeluar dari mulut mereka.

Namun jelas PHM, jika bayi pengsan atau objek masih lagi tidak keluar, anda perlu menelefon talian kecemasan 999 atau melakukan Resusitasi Kardiopulmonari atau juga dikenali sebagai CPR.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Kisah Anak Kecil Maut Tercekik Rambutan, Ini Teknik Yang Ibu Bapa Harus Tahu & Praktikkan

Ini antara komen menarik pengguna media sosial:

“Alhamdulillah & Syabas Atas Tindakan Segera. Tenang & Berkeyakinan Sungguh”

Image from: Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

“Terbaik Nurse! Hero Tepat Pada Masanya, Nampak Tenang & Berpengalaman”

Image from: Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

“Terima Kasih Cik Adik Yang Baik, Awak Heroin Yang Menyelamatkan Satu Nyawa, Semoga Dirahmati Allah SWT”

Image from: Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

“Not All Heroes Wear Capes, Some Do Wear Tudung, respect To You Kak!”

Image from: Jururawat ‘Off Duty’ Bantu Selamatkan Individu Tercekik Di Kafe Raih Pujian [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Tengah Makan Tiba-Tiba Tercekik Tulang Ikan? Ini Tips Mudah & Selamat Untuk Korang

View Original Article