Wanita Tercekik Nyaris Maut, Jururawat Tampil Selamatkan Nyawa

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 1:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Wanita Tercekik Nyaris Maut, Jururawat Tampil Selamatkan Nyawa

KUALA LUMPUR - Suasana tenang waktu pagi di kafe Pantai Hospital Ipoh, Perak bertukar sebaliknya apabila seorang wanita tiba-tiba tercekik dan mengalami kesukaran bernafas, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai. 

Namun, situasi mencemaskan itu berjaya dikawal hasil tindakan pantas dan berani seorang jururawat yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Menurut hantaran media sosial yang dimuat naik pihak hospital, jururawat berkenaan, dikenali sebagai Siti Maisyura, baru sahaja menamatkan syif malamnya dan sedang menunggu temujanji susulan anaknya berhampiran kafe tersebut ketika insiden berlaku.

Ketika mangsa tercekik, ahli keluarganya dilihat cemas dan berusaha mendapatkan bantuan, tetapi keadaan wanita terbabit semakin kritikal dari detik ke detik.

Tanpa berlengah, Maisyura segera tampil membantu.

Berbekalkan latihan serta pengalaman dimiliki, dia dengan tenang melakukan gerakan Heimlich terhadap mangsa bagi mengeluarkan makanan yang menyekat saluran pernafasan wanita terlibat.

Beberapa saat kemudian, halangan itu berjaya dikeluarkan dan mangsa kembali bernafas seperti biasa.

Mengulas kejadian berkenaan, pihak hospital menyifatkan tindakan Maisyura sebagai sesuatu yang melangkaui tanggungjawab profesional seorang jururawat.

“Dalam saat genting itu, dia bukan sekadar seorang jururawat, tetapi juga penyelamat nyawa,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak hospital berkata, tindakannya mencerminkan semangat sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 yang membawa tema “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives”.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji kecekapan, keberanian dan sifat prihatin yang ditunjukkan Maisyura.

Malah, ramai turut tersentuh apabila melihat dia bergegas membantu tanpa berfikir panjang, termasuk sanggup meninggalkan barangan peribadi demi menyelamatkan mangsa.

Video aksi menyentuh hati Maisyura itu boleh dilayari di pautan https://www.facebook.com/reel/1537307281167740 - Getaran, 14 Mei 2026