
SHAH ALAM, 7 OKT: Jururawat parah selepas dipercayai ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, Kota Bharu malam kelmarin.
Mangsa berusia 44 tahun mengalami kecederaan pada badan dan leher dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II susulan kecederaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam sama.
Susulan kejadian, polis menahan suami mangsa yang berusia 47 tahun selepas lelaki berkenaan menyerah diri.
Mohd Azmir berkata polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian. Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek bagi membantu siasatan.






