
Jurutera awam mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menipu lima kontraktor membabitkan RM18,198 di Terengganu
KUALA TERENGGANU: Seorang jurutera awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memperdaya lima kontraktor membabitkan wang berjumlah RM18,198 sejak 2023.
Mohd Nizam Mohd, 41, yang ketika itu bertugas di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nizam didakwa memperdaya kontraktor berkenaan untuk menyerahkan wang kepadanya atas alasan akan digunakan bagi tujuan pembelian peralatan, bayaran perkhidmatan serta sumbangan program dan kelab UniSZA.
Bagaimanapun, dia didakwa mengetahui wang berkenaan bukan untuk tujuan yang dimaksudkan sebelum secara tidak jujur mendorong kelima-lima kontraktor itu memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM18,198 ke dalam akaun bank milik isterinya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jertih pada 23 Ogos 2023, dua bank di Kuala Terengganu, masing-masing pada 24 Ogos dan 27 Dis 2023, serta sebuah bank di Jertih pada 1 Jan 2024 dan sebuah lagi bank di Kuala Terengganu pada 4 Jan 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Amalina Najwa Mohd Ali menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM, tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohd Nizam memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menyara isteri serta tiga anak yang masih bersekolah, selain mengalami penyakit jantung.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.






