
KLUANG: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa permit sah, awal bulan lalu.
Tertuduh, How Han Wei, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith and Wesson tanpa kebenaran sah di sebuah kediaman beralamat di Jalan Indah 2/10, Taman Kluang Indah, di sini pada pukul 6.30 petang, 6 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Yvonne Kee.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 28 September depan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen.
Pada 17 Ogos lalu, Han Wei bersama tiga lelaki lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan, awal bulan ini.
Mereka adalah S. Yogeesvaran, 40; Lim Yong Ming, 26; N. Acuthan, 32, dan Han Wei.-UTUSAN
The post Lelaki tidak mengaku salah miliki pistol tanpa permit sah appeared first on Utusan Malaysia.






