
PETALING JAYA – Malaysia Airlines memberi jaminan dalam memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu yang disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah ke negara berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan berkaitan kesalahan melibatkan narkotik, namun tidak akan mengulas lanjut memandangkan siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia masih berjalan.
Menurut syarikat penerbangan itu, segala bentuk kerjasama akan diberikan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan semua undang-undang dan peraturan yang terpakai.
“Kami juga tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku dan kini sedang menjalankan semakan dalaman berhubung perkara ini. Keselamatan, sekuriti dan integriti operasi kami kekal menjadi keutamaan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Selasa lalu selepas disyaki cuba menyeludup 25kg dadah ke Indonesia.
Suspek ditahan selepas Bahagian Kastam dan Cukai Indonesia menemui 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul yang dipercayai mengandungi dadah jenis ekstasi dan methamphetamine. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia Airlines sedia beri kerjasama siasat juruterbang seludup dadah appeared first on Kosmo Digital.





