
PUTRAJAYA, 11 OGOS: Kadar pengangguran pada Jun 2026 kekal 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya dan mencatatkan sebanyak 517,800 penganggur, menurut Statistik Tenaga Buruh bagi Jun 2026 dan Suku Tahun Kedua 2026 yang diterbitkan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan penduduk bekerja pada Jun lepas meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang (Mei 2026: 16.82 juta orang) manakala bilangan penganggur meningkat daripada 513,400 orang kepada 517,800 orang, naik sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan.
“Bilangan tenaga buruh merekodkan peningkatan marginal bulan ke bulan sebanyak 0.04 peratus kepada 17.34 juta orang pada Jun 2026. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
Kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat 0.02 peratus, mencecah 12.61 juta orang pada Jun 2026 manakala bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah secara marginal 0.04 peratus mencatatkan 3.15 juta orang.
DOSM memaklumkan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan itu, terutamanya dalam aktiviti pengangkutan dan penyimpanan, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman serta perdagangan borong dan runcit.
Sementara itu, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun lepas kekal pada 10.2 peratus dengan sebanyak 292,200 penganggur belia direkodkan manakala kadar pengangguran belia 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.3 peratus, mencatatkan 400,800 penganggur belia.
Pada peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah pada suku tahun kedua 2026 iaitu 1.3 peratus, diikuti Melaka dan Pahang iaitu pada 2.0 peratus dan Selangor dengan kadar pengangguran sebanyak 2.1 peratus.
Pada masa sama, lima negeri merekodkan KPTB melebihi kadar nasional, dengan Putrajaya mencatatkan kadar tertinggi pada 79.4 peratus diikuti Selangor (77.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (76.0 peratus).
“Secara keseluruhannya, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia mulai Julai 2026 dan seterusnya dijangka kekal positif, disokong oleh kedudukan ekonomi domestik yang relatif stabil, aktiviti pelaburan yang berterusan serta daya tahan pasaran buruh.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpanjangan dalam pasaran tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan perdagangan luar boleh memberikan tekanan kepada kos perniagaan dan keputusan pengambilan pekerja sekiranya risiko tersebut berlarutan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA






