
PETALING JAYA: Kadar pengangguran kekal pada tahap 3.0 peratus setakat Jun tahun ini sebagaimana bulan sebelumnya iaitu melibatkan seramai 517,800 penganggur.
Jumlah berkenaan direkodkan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh bagi Jun 2026 dan Suku Tahun kedua yang diterbitkan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan berkata, bilangan penduduk bekerja pada Jun lepas meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang berbanding Mei manakala bilangan penganggur meningkat daripada 513, 400 orang kepada 517, 800 orang naik sebanyak 0.9 peratus.
“Bilangan tenaga buruh merekodkan peningkatan marginal bulan ke bulan sebanyak 0.04 peratus kepada 17.34 juta orang pada Jun 2026. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah berbanding sebelumnya,” katanya kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja meningkat 0.02 peratus mencecah 12.61 juta pada Jun 2026 manakala bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah secara marginal 0.04 peratus mencatatkan 3.15 juta orang.
DOSM turut memaklumkan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada itu terutama dalam aktiviti pengangkutan dan penyimpanan, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman serta perdagangan borong mahupun runcit.
Sementara tu, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 peratus pada Jun lepas kekal pada 10.2 peratus dengan sebanyak 292,200 penganggur belia direkodkan manakala kadar pengangguran belia 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.3 peratus mencatatkan 400,800 penganggur belia.
Pada peringkat negeri, Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah pada suku tahun kedua 2026 iaitu 1.3 peratus, diikuti Melaka dan Pahang iaitu pada 2.0 peratus. Selangor pula mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.1 peratus.
Pada masa sama, lima negeri merekodkan KPTB melebihi kadar nasional dengan Putrajaya mencatatkan kadar tertinggi pada 79.4 peratus diikuti Selangor (77.9 peratus) dan Wilayah persekutuan Kuala Lumpur (76.0 peratus).
‘Secara keseluruhannya, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia mulai Julai 2026 dan seterusnya dijangka kekal positif, disokong kedudukan ekonomi domestik yang relatif dan stabil, aktiviti pelaburan berterusan dan daya tahan pasaran buruh.
“Bagaimanapun ketidaktentuan berpanjangan dalam pasaran tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan perdagangan luar boleh memberikan tekanan kepada kos perniagaan dan keputusan pengambilan pekerjan sekiranya risiko tersebut berlarutan,” jelasnya.-UTUSAN
The post Kadar pengangguran kekal 3.0 peratus setakat Jun appeared first on Utusan Malaysia.






