
PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy menyifatkan meluahkan pemergian ibunya, Allahyarhamah Filzah Yusoff meninggalkan kekosongan besar di ruangan hatinya. yang meninggal dunia, semalam.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, berkata, ibunya bukan sekadar seorang ibu, malah individu paling memahami dirinya.
“Tidak tahu hendak cakap bagaimana, Mama. Saya bukan sahaja kehilangan seorang ibu, saya kehilangan teman baik, seseorang yang menguruskan kerja, penata gaya m, penasihat m, penjaga m dan yang paling penting, satu-satunya orang yang faham saya.
“Satu-satunya, Mama. Siapa lagi yang boleh faham saya yang suka pendam dan tudak bercakap ini selain Mama?” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, Elfira percaya Allah SWT memberikan ruang buat mereka sekeluarga untuk bersedia menerima kehilangan tersebut apabila ibunya menjalani rawatan di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Allah memang sayang Mama. Allah tahu Mama sayang kami dan mahu kami senang. Allah tudak tarik nyawa Mama terus.
“Allah beri kami peluang untuk berlatih hari demi hari melawat Mama di hospital tanpa berbual dengan Mama, hanya berbekalkan bacaan Yasin menjadi perbualan kita.
“Dan sekarang, adakah ini sahaja, Ma? Adakah ini yang akan menjadi perbualan kita buat selama-lamanya? Saya percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini.
“Mama pergi dengan cinta. Mama pergi dalam doa. Mama pergi setelah ramai datang menziarahi. Mama disayangi. Mama sentiasa disayangi dan Mama akan sentiasa disayangi,” katanya.
Meskipun pahit untuk menelan segala keperitan, pelakon itu memaklumkan dia tetap akan mengharungi liku-liku kehidupan dengan cekal biarpun tiada lagi ibu tersayang di sisi.
“Saya akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan dan dengan Allah yang Mama cintai sepenuh hati. Saya sayang Mama,” luahnya.
Allahyarhamah Filzah, 61, menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan ketika menerima rawatan di sebuah hospital susulan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi, pada 6 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Elfira tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tahap kesihatan ibunya, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan agar prosedur itu berjalan lancar.
The post Saya bukan sahaja kehilangan seorang ibu, tetapi teman baik – Elfira Loy appeared first on Utusan Malaysia.






