
KUALA LUMPUR: Persefahaman yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan masih terlalu awal untuk dinilai kejayaannya kerana bakal berdepan pelbagai ujian politik pada masa hadapan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, kesepakatan yang terbentuk itu akan menjadi medan ujian pertama pada PRN Negeri Sembilan sebelum berdepan pilihan raya negeri lain termasuk Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut beliau, kerjasama seumpama itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan UMNO, Pas dan Bersatu pernah bergabung di bawah Muafakat Nasional serta membentuk kerajaan bersama sebelum kerjasama tersebut akhirnya terlerai.
“BN, Pas dan Bersatu pernah bersama membentuk kerajaan suatu ketika dahulu. Kali ini di Negeri Sembilan, sekali lagi terbentuk kesepakatan melibatkan BN, Pas dan Wawasan yang merupakan serpihan Bersatu.
“Saya percaya kepimpinan tertinggi parti mendengar kehendak serta impian pengundi Melayu yang mahu kita kembali bersatu dan tidak lagi berpecah-belah,” katanya ketika ditemui semasa program walkabout di Taman Anggerik, Pajam, di sini hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN yang diwakili Pas dan Parti Wawasan bertanding di 11 kerusi.
Mengulas lanjut, Bastien berkata, formula kerjasama tersebut akan menjadi penanda aras kepada hala tuju kerjasama politik antara parti-parti berkenaan pada masa depan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) kerana mendengar hasrat orang Melayu yang mahukan penyatuan.
“Apabila orang Melayu kuat dan bersatu, barulah kita berupaya melindungi kepentingan golongan minoriti. Inilah penyatuan Melayu yang telah lama dinantikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau optimis calon MCA, Alan Lai, mampu memberi saingan kepada penyandang kerusi DUN Nilai, J. Arul Kumar dari DAP yang telah memegang kerusi berkenaan selama tiga penggal.
Beliau turut yakin sokongan pengundi Cina akan memihak kepada calon MCA sebagaimana berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini di Sabah dan Johor.
“Apa yang kita dengar daripada pengundi, ramai yang tidak berpuas hati dengan pelbagai masalah setempat yang masih gagal diselesaikan. Kita yakin angin perubahan akan berlaku,” katanya. – UTUSAN
The post PRN N. Sembilan medan ujian pertama BN-PN appeared first on Utusan Malaysia.






