ALOR SETAR: Kerajaan negeri berpendirian tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada Kementerian Kewangan (MOF) selepas pihaknya gagal menghalang pengeluaran lesen premis untuk perniagaan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada kementerian berkenaan.
“Selepas dapat lesen judi daripada MOF, dia datang kepada PBT untuk minta lesen premis. Kalau kita tidak beri, dia terawang-awanglah. Dia ada lesen MOF, tetapi kenapa PBT tidak beri? Ini antara punca yang membawa perkara ini ke mahkamah.
“Sekarang bola telah tertendang kepada MOF, bola berada di tangan Menteri Kewangan yang kena tentukan. Kita tengok dia nak ‘score’ gol atau nak ‘score’ gol sendiri kerana Menteri Kewangan yang bertanggungjawab untuk tidak meluluskan lesen judi di Kedah,” katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, malam tadi.
Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan itu secara sebulat suara serta memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Ujar Muhammad Sanusi, keputusan untuk tidak meluluskan lesen perjudian di Kedah akan membantu kerajaan negeri dalam usaha membanteras kegiatan itu.
“Kalau tidak lulus, Menteri Kewangan membantu kami dalam membanteras dosa besar ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan kerajaan negeri dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dibuat secara berhati-hati serta mengikut prosedur dan bukannya secara tergesa-gesa atau ‘bulldoze’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Katanya, selepas pengumuman dasar berkenaan dibuat pada 2021, beliau mengarahkan Setiausaha Bahagian (SUB) Kerajaan Tempatan berunding dengan MOF bagi memaklumkan pendirian kerajaan negeri berhubung pengeluaran lesen premis perjudian.
“Kita bukan bulldoze tetapi runding dan bincang. Kita sudah maklumkan bahawa selepas ini kita tidak akan keluarkan lesen premis. Kerajaan negeri juga memohon MOF supaya tidak lagi mengeluarkan lesen judi.
“Kita beritahu MOF, yang sudah tamat lesen pada 2022 jangan dikeluarkan lagi untuk 2023 kerana kita sudah mula tidak memberikan lesen premis. Sampai ke tahap itu kita atur kerja supaya perkara ini tidak menjadi isu undang-undang,” katanya. – UTUSAN
The post Lesen judi: ‘Bola ditangan MOF’ – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.





