
ADA satu momen dalam hidup yang tak semua orang mampu ungkap dengan kata-kata saat melihat seseorang yang sentiasa ada di sisi, akhirnya melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya.
Bukan kerana kehilangan, tetapi kerana sedar, rutin yang sama takkan pernah kembali seperti dulu.
Itulah perasaan yang dikongsi oleh Khairul Aming apabila meluahkan isi hati buat sahabat baiknya, Kemey, yang kini sah bergelar suami kepada Najwa.
Lebih menyentuh hati, luahan tersebut dibuat secara spontan ketika majlis persandingan pasangan itu yang berlangsung baru-baru ini, momen yang bukan sahaja merakam kebahagiaan, tetapi turut mengundang sebak dalam kalangan tetamu.
Malah, suasana bertukar hening apabila kata-kata yang diluahkan itu benar-benar datang dari hati.
Bukan sahaja Kemey kelihatan tersentuh, malah ramai tetamu yang hadir turut sama menitiskan air mata, terharu dengan kisah persahabatan yang begitu tulus.
Luahan itu bukan sekadar ucapan perkahwinan, tetapi sebuah kisah panjang tentang persahabatan, kepercayaan dan pengorbanan yang dibina selama bertahun-tahun.
Lebih daripada sekadar kawan, Kemey adalah saksi kepada setiap jatuh bangun, dan insan yang berada di sisi ketika segalanya masih belum bernama.
Mengimbau kembali perjalanan mereka, Khairul Aming berkongsi kisah sekitar enam tahun lalu, ketika segalanya masih sederhana.
Bersama Kemey dan seorang lagi rakan, Daud, mereka tinggal di sebuah rumah sewa dengan satu impian yang sama.
Dalam keadaan serba kekurangan, mereka membuat keputusan yang mungkin kedengaran kecil, tetapi sebenarnya cukup besar, mengorbankan bilik tidur utama untuk dijadikan studio memasak pertama.
Bilik yang sepatutnya menjadi tempat rehat, bertukar menjadi ruang kerja.
Dari situlah mereka mula membina sesuatu yang hari ini dikenali ramai. Dinding dipasang sendiri, ruang diubah suai dengan kudrat dan idea, dan setiap sudut menjadi saksi kepada usaha tanpa henti.
Studio kecil itu akhirnya berkembang, daripada sebuah bilik tidur, menjadi studio profesional, seterusnya membuka jalan kepada pelbagai cabang perniagaan termasuk kilang dan restoran.
Dan sepanjang perjalanan itu, satu perkara kekal, Kemey sentiasa ada.
Apa yang lebih menyentuh hati, Khairul Aming mengakui bahawa Kemey bukan sekadar pekerja atau pembantu biasa.
Malah, dia adalah individu pertama yang diambil bekerja tanpa sebarang temuduga.

“Kalau saya sakit, dia yang carikan ubat. Dia teman saya ke hospital.
"Dia uruskan semua benda… daripada bil, perjalanan, sampai hal-hal kecil yang orang lain tak nampak,” kongsinya.
Enam tahun bersahabat
Selama enam tahun, Kemey memainkan peranan yang mungkin tidak disedari ramai.
Di saat orang melihat kejayaan di hadapan kamera, dialah insan yang memastikan semuanya berjalan lancar di belakang tabir.
Kalau Khairul Aming bekerja hingga jam 3 pagi, Kemey akan ada, set up peralatan, bantu apa yang perlu, malah berjaga sekiranya diperlukan.
Kalau ada tugasan yang banyak, dia akan semak satu persatu supaya tiada yang terlepas.
Tanpa disuruh, tanpa mengeluh.
Dalam diam, dia menjadi sistem sokongan yang memastikan segalanya terus bergerak.
“Semua yang saya ada hari ini, datang daripada usaha dia juga… yang pastikan saya tak ‘lost’ bila berdepan dengan jutaan orang,” luah Khairul Aming jujur.
Namun, masa tetap berjalan. Selama bertahun-tahun, topik tentang perkahwinan Kemey sering dijadikan gurauan antara mereka.
Dari 'lima tahun lagi' hingga semakin dekat, semuanya terasa seperti masih lama.
Sehinggalah satu hari, Kemey benar-benar bersedia untuk bertunang.
Dan saat itu, Khairul Aming mengakui dirinya terdiam.

“Alamak… Kemey nak bertunang.”
Bukan kerana tidak gembira, tetapi kerana sedar sesuatu akan berubah.
Rutin kecil yang selama ini biasa, bertanya apa nak makan, memastikan dia sudah bangun, berkongsi hari yang sama, semuanya perlahan-lahan akan hilang.
“Sekarang bila bangun pagi, bilik dia dah kosong… dia dah pindah untuk sambut Najwa dalam hidup dia,” katanya.
Satu perubahan yang nampak kecil, tetapi cukup besar untuk dirasai.
Dalam dunia yang semakin sukar membezakan siapa yang benar-benar ikhlas, Khairul Aming mengakui kehadiran Kemey dalam hidupnya adalah satu rezeki yang tidak ternilai.
"Dunia nampak saya penat bekerja, kan? Kata, okey, rehatlah, rehatlah. Tapi orang tak nampak sebenarnya. Dia sama penat dengan saya bekerja. Kalau saya syut video 3 pagi, 3 pagi dia akan set up. Kalau saya edit video tak tidur, dia akan set up juga. Teman edit video takut saya perlukan apa-apa masa nak siapkan kerja.
"Kalau ada hari itu, ada event, ada meeting yang perlukan set alam, dia akan set alam 5 minit sebelum saya bangun. Untuk make sure saya betul-betul sedar tidur.
"Enam tahun dia buat benda sama tanpa saya minta pun sebenarnya. Dan kalau ada seribu tugasan nak kena siapkan, dia akan check satu per satu untuk make sure tak ada benda pun yang saya miss. So everything I have today datang dari usaha dia yang memastikan saya masih waras dan tak mental bila menghadap jutaan manusia,"ungkap KA dengan nada tulus dan sebak.
Dia mengakui, apabila berada dalam dunia yang dikenali ramai, tidak mudah untuk menilai keikhlasan seseorang. Namun Kemey berbeza.
Segala yang dilakukan, datang daripada hati. Tanpa mengharapkan balasan, tanpa pernah merungut walau sedikit.
"Bila duduk dalam dunia yang dikenali jutaan orang, saya dah tak boleh bezakan siapa yang ikhlas nak berkawan ataupun siapa yang tak ikhlas. Tapi dia tak. Semua benda dia buat, dia ikhlas. Dari itu saya sedar betapa bertuahnya saya.ALLAH bagi pembantu yang betul-betul ikhlas. And sepanjang 6 tahun, dia langsung tak pernah merungut.
"Dari situlah, saya belajar menghargai, bahawa bukan semua orang bernasib baik memiliki insan seperti itu dalam hidup," ujarnya lagi.
Dalam ucapannya kepada Najwa, Khairul Aming menyifatkan wanita itu sebagai insan yang sangat bertuah.

"Kepada Najwa, tadi Amir dah bagitahu, you are lucky to marry Kemey. Inilah semua sebabnya. Kalau dia sanggup buat semua ni untuk jaga kawan dia, imagine apa dia akan buat untuk jaga isteri yang dia sayangi.
“Itulah sebab kenapa awak buat keputusan yang betul untuk kahwin dengan dia,” katanya.
Luahan itu diakhiri dengan doa yang tulus, agar pasangan tersebut sentiasa saling menjaga, memahami dan terus melangkah bersama.
Malah, dengan seloroh penuh kasih, dia turut ‘menempah tempat’ sebagai pak cik kepada anak-anak mereka suatu hari nanti.
“Apa yang korang perlukan, beritahu saya. Saya akan sentiasa ada,” ujarnya.
Kisah ini bukan sekadar tentang perkahwinan, tetapi tentang sebuah hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan dan keikhlasan.
Walaupun fasa hidup berubah, hubungan itu tetap kekal, cuma dalam bentuk yang berbeza.
