
KUALA LUMPUR — Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi satu video ucapan penuh emosi sempena perkahwinan sahabat baiknya.
Menerusi hantaran di Threads, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA memuat naik video tersebut bersama kapsyen yang menyentuh hati:
“Jatuh air mata depan satu dewan bila tengok best friend dah berumahtangga. Bukan senang nak dapat kawan yang ada masa susah dan senang.
I’m so happy for both of you. Please take good care of your wife Mey.”
Dari Bilik Tidur Ke Empayar Perniagaan
Dalam ucapannya, KA turut mengimbau kembali perjalanan mereka berdua yang bermula dari bawah, termasuk pengorbanan menjadikan bilik tidur utama (master bedroom) sebuah rumah sebagai studio masakan.
Menurutnya, dari detik sederhana itulah segalanya bermula, sehinggalah mereka berjaya mengembangkan perniagaan, membuka lebih daripada satu kilang dan juga restoran sendiri, Rembayung.
Perkongsian itu jelas memperlihatkan betapa eratnya hubungan persahabatan mereka yang terjalin sejak susah hingga senang.
Sahabat Balas Dengan Gurauan
Menjengah ke ruangan komen, individu yang dimaksudkan KA iaitu kemeyyhakim turut memberi reaksi secara berseloroh dengan menyatakan dia kini “nangis sambil peluk bini”, meskipun dalam gambar yang dikongsikan dia kelihatan tersenyum bahagia di samping isterinya.
Netizen Turut ‘Berjangkit’ Sebak
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan ucapan KA.
Ada yang menyifatkan ucapan itu sebagai antara yang paling ikhlas pernah didengar, selain mendoakan agar segala kebaikan dibalas buat KA. Tidak kurang juga yang berseloroh mengatakan sudah tiba masanya untuk KA pula mencari pasangan hidup.
Malah, ramai mengakui mereka turut ‘berjangkit’ emosi, seolah-olah menjadi sebahagian daripada perjalanan persahabatan itu, selain mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin.
Menariknya, ada juga netizen yang menggambarkan hubungan mereka bukan sekadar persahabatan biasa, sebaliknya sesuatu yang lebih mendalam, digelar sebagai “Rembayunghood”.
Kisah ini menjadi bukti bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar pada apa yang dibina, tetapi siapa yang setia berada di sisi sepanjang perjalanan itu, dari detik paling sukar hingga saat paling membahagiakan. – The Malaysian Update
The post Khairul Aming Kongsi Detik Sebak Di Majlis Kahwin Sahabat, Netizen Turut Tersentuh appeared first on The Malaysian Update.


