“Kami disoal siasat setiap hari” – Dituduh Ejen Perisik, Isa Isarb Dakwa Ditahan Ketika Buat Dokumentari Jerebu Di Indonesia

9 Nov 2026 • 10:47 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

isa isarb ditahan indonesia ft

YouTuber dan pencipta kandungan popular, Isa Isarb mendakwa dia bersama beberapa pasukannya telah ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika berada di negara itu bagi menghasilkan dokumentari berkaitan isu jerebu, baru-baru ini.

Mendedahkan pengalaman ngeri itu, Isa atau nama sebenarnya Isa Batharul Zaman, 28, mendakwa mereka disyaki sebagai perisik dari Malaysia atau individu yang dibayar pihak tertentu untuk menggulingkan sebuah kerajaan.

Menceritakan semula kejadian itu, Isa berkata tujuan asal mereka ke Indonesia adalah untuk merakam dokumentari mengenai kebakaran yang dikaitkan dengan masalah jerebu.

“Pada hari kejadian, kami sedang dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar apabila terlihat orang ramai berkumpul di lokasi demonstrasi mahasiswa. Kami pun singgah untuk menemu bual beberapa orang di situ.

“Tidak lama kemudian, kami didatangi 10 hingga 15 pegawai. Salah seorang daripada mereka terus bertanya kepada saya, ‘Adakah kamu Isa Batharul?’, sedangkan saya lebih dikenali dengan nama ‘Isa Isarb’. Mendengar mereka menyebut nama itu, saya mula merasakan ada sesuatu pelik sedang berlaku,” kongsinya.

Menurut Isa, mereka kemudiannya ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa pelancong kerana visa berkenaan tidak membenarkan aktiviti penggambaran atau kehadiran di lokasi demonstrasi.

Ketika berada di balai, Isa diminta menyerahkan telefon bimbit dan menjelaskan tujuan sebenar kedatangan mereka ke negara itu sebelum ditahan di lokap.

Artikel berkaitan: “Memang rugi besar gila” – Isa Isarb Hentikan ‘Content’ Lelaki & Perempuan Duduk Serumah

Artikel berkaitan: Dakwaan R*hingya Guna Pasport Bangladesh Dalam Video Pempengaruh, Ini Respon Saifuddin

Situasi menjadi semakin mencemaskan apabila balai polis yang pada awalnya sunyi tiba-tiba dipenuhi kira-kira 40 anggota tambahan termasuk pasukan keselamatan siber yang dilengkapi teknologi canggih serta beberapa pegawai atasan.

“Timbul kebimbangan bahawa kami mungkin menjadi mangsa keadaan atau dijadikan kambing hitam untuk kepentingan pihak tertentu.”

Tambah Isa, pihak berkuasa mengesyaki mereka sebagai perisik selepas menemui bukti perbualan dengan beberapa ahli politik Malaysia.

“Perbualan dimaksudkan adalah antara saya dengan pasukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

“Sedangkan semua itu hanyalah urusan menjemput mereka untuk ditemu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang kami rakam,” katanya.

Isa mendakwa dia ditahan selama enam hari dan disoal siasat sepanjang tempoh tersebut sehingga timbul perasaan seolah-olah sudah tiada harapan untuk dibebaskan.

Malah, dia mengakui sangat takut apabila memikirkan kemungkinan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau hukuman mati melalui tembakan sekiranya didapati bersalah atas kesalahan pengintipan.

Dia turut mendedahkan mengalami serangan panik pada beberapa malam kerana terlalu tertekan memikirkan apa yang bakal berlaku pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, selepas melalui detik sukar itu, Isa memaklumkan dia bersama pasukannya akhirnya berjaya dibawa pulang ke Malaysia hasil hubungan baik antara kerajaan kedua-dua negara.

Pada masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia atas layanan adil sepanjang proses siasatan serta kerajaan Malaysia yang segera menghulurkan bantuan.

Mengulas mengenai perkembangan dokumentari tersebut, Isa berkata pihaknya merancang untuk menayangkannya menerusi saluran YouTube pada 16 November ini selepas tamat pilihan raya negeri (PRN) Melaka untuk mengelakkan ia dikaitkan dengan kempen pilihan raya selain dijangka keadaan jerebu semakin reda berikutan hujan.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved