
GEORGE TOWN – Keluarga pendaki Malaysia, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, yang masih gagal dijejaki susulan banjir besar di Nepal meluahkan rasa terkilan selepas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pulang ke tanah air.
Kakak ipar Muhaimin yang mahu dikenali sebagai Fina berkata, sehingga hari ke-20 semalam, mereka langsung tidak menerima sebarang perkembangan jelas mengenai pencarian adiknya yang dilaporkan hilang ketika berada di Nepal, sejak 26 Julai lalu.
Dua lagi rakan Muhaimin iaitu Muhammad Zaki Othman, 29, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27 turut dilaporkan hilang akibat bencana tersebut.
Menurut Fina, rentetan ketiadaan maklumat terkini berhubung status operasi pencarian menyebabkan keluarganya terus tertunggu-tunggu khabar berita mengenai nasib Muhaimin sehingga ke saat ini.
“Kami rasa amat terkilan kerana tiada seorang pun dari 55 rakyat Malaysia yang hilang itu dijumpai. Kemudian, pasukan SMART pulang begitu sahaja.
“Dengan tiada apa-apa update (perkembangan terkini) di sana (Nepal) membuatkan kami sekeluarga tertunggu-tunggu,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Dalam pada itu, keluarga Muhaimin turut berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dihentikan, sebaliknya diteruskan dengan memperluaskan pencarian ke kawasan lain yang berkemungkinan.
“Kalau boleh, kami mahu operasi SAR diteruskan. Biar pasukan berkampung di sana dan mencari di kawasan perkampungan atau mana-mana lokasi yang berkemungkinan,” ujarnya.
Ujarnya lagi, mereka hanya mahu mendapatkan kepastian mengenai keadaan Muhaimin termasuk rakyat Malaysia yang berada di sana.
“Selagi kami tidak tahu status dia bagaimana sekarang, kami akan tetap tunggu dia balik.
“Andai kata dia sudah tiada, kami reda, tetapi kami hanya berharap jasad dia dapat ditemukan. Itu sahaja yang kami harapkan,” katanya.
Katanya, mereka berharap pihak berkuasa terus memberikan maklumat kepada keluarga dan tidak menghentikan usaha mencari selagi nasib rakyat Malaysia belum diketahui.
Kelmarin, media melaporkan SMART dijangka pulang ke Malaysia hari ini selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda Nepal.
Tindakan itu ditentukan selepas laporan dan penilaian dibuat oleh SMART dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kepulangan pasukan itu susulan operasi berkenaan yang sudah berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan pasukan berkenaan di Nepal.
The post ‘Kami terkilan tiada perkembangan, keluarga tertunggu-tunggu’ appeared first on Kosmo Online.






